Kesan komersialisasi terhadap warisan Melaka - Utusan Malaysia

Kesan komersialisasi terhadap warisan Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jika pada zaman dahulu Melaka terkenal sebagai pusat perdagangan antarabangsa, kini negeri itu kaya dengan peninggalan sejarah, budaya dan wa­risan pelbagai kaum termasuk Asia dan Eropah. Ba­ngunan bersejarah yang wujud sejak era Kesultanan Melayu Melaka termasuk yang dipengaruhi seni bina Portugis, Belanda dan Inggeris kini menjadi tarikan pelancong dari seluruh dunia.

Malah, Melaka serta George Town di Pulau Pinang diisytihar sebagai Tapak Warisan Dunia Pertu­buhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa­ Bersatu (UNESCO) pada 7 Julai 2008.

Temu bual dengan pelancong yang mengunjungi tempat menarik di Bandar Hilir, Melaka mendapati kebanyakan mereka sangat kagum dengan kein­dahan seni bina bangunan bersejarah di situ.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun pada masa sama mereka menyatakan kebimbangan jika pelbagai pembangunan dan komersialisasi yang pesat bakal menjejaskan nilai warisan negeri ini.

Apa yang nyata ialah terdapat pertembungan antara­ bangunan lama dan baharu berikutan pembinaan pelbagai hotel dan infrastruktur bagi memenuhi keperluan sektor pelancongan yang semakin berkembang.

Josephine Smith-Pearson, dari Essex, United Kingdom amat tertarik serta kagum dengan Kota A’Famosa dan bangunan Stadthuys yang menurutnya dijaga dan dipulihara dengan baik, walaupun berusia lebih 500 tahun.

Namun guru berusia 52 tahun itu menyatakan kebimbangannya mengenai pembangunan pesat seni bina moden termasuk pusat beli-belah dan hotel di sekitar bangunan bersejarah itu.

“Apabila mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia, semestinya bangunan atau tapak itu dipelihara. Nampak macam ada sesuatu­ yang tidak kena apabila terdapat bangunan moden berhampiran seni bina berusia 500 tahun itu.

“Perlu ada cara untuk mengimbangi kewujudan infrastruktur moden agar sesuai dengan seni bina bersejarah supaya sedap mata memandang,” katanya.

Akemi Okada yang berasal dari Osaka, Jepun pula amat meminati pertembungan gaya seni bina ba­ngunan bersejarah terutamanya rumah kedai yang dipengaruhi seni bina Belanda di kawasan Jonker Walk dan Gereja St. Paul serta Kota A’ Famosa daripada seni bina Portugis.

Ahli fisioterapi berusia 42 tahun itu berkata, keindahan seni bina di situ sukar ditemui di mana-mana tapak bersejarah di seluruh dunia.

Beliau bagaimanapun agak bimbang melihatkan ada bangunan serta rumah kedai yang diubah suai sehingga hilang nilai dan keindahan seni bina asalnya.

Sementara itu, seorang peniaga cenderahati, Mohd. Mahadi Murad, 37, menyatakan kekesalannya kerana terpaksa menjual kraf tangan dari negara luar ke­rana harganya jauh lebih murah berbanding hasil kraf tangan Melaka.

“Saya ingin membantu mempopularkan kraf­ ­tangan Melaka tapi sebagai seorang peniaga sudah tentu saya akan mencari barangan yang lebih murah supaya mudah dijual, atas sebab itu lebih 80 peratus cenderahati kraf yang saya jual adalah dari negara luar.

“Saya dalam dilema antara sayang terhadap kraf tempatan atau berniaga mencari rezeki kerana hasil kraf Melaka seperti terompah, bakul siah (bakul baba nyonya), bakul mengkuang, gasing dan keris memang berkualiti tinggi tetapi barangan ini tidak dicari atau dibeli pelancong setiap hari,” katanya dengan nada kesal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini