ISTANBUL, Turki 1 Okt. – Kerjasama erat antara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan agensi agama Islam serta kolaborasi pintar bersama kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta menjadi antara resipi kejayaan MAIPs selama ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, bersyukur kerana MAIPs yang akan mencapai usia ke-100 tahun menjelang 2020 nanti, sehingga kini telah mendapat kepercayaan pelbagai lapisan masyarakat.
Walau bagaimanapun titah baginda, MAIPs tidak boleh berpuas hati tetapi sebaliknya perlulah mengupayakan lagi potensi sedia ada bagi terus meningkatkan mutu perkhidmatannya.
“MAIPs mempunyai pelbagai kelebihan dan potensi yang tersendiri. Selain menjadi sebuah badan induk pentadbiran agama Islam di Perlis, MAIPs harus menggunakan segala ruang dan peluang untuk menjadi sebuah organisasi yang boleh diharapkan,” titah baginda.
Demikian titah baginda selepas berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM1,000 kepada pihak Masjid Suleimania, di sini petang tadi.
Imam masjid tersebut, Ayhan Mansiz menerima sumbangan bagi pihak masjid tersohor itu.
Baginda yang turut diiringi Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor terdahulu, menunaikan solat jamak zuhur dan asar di masjid tersebut selepas mengadakan pertemuan dengan Mufti Istanbul, Prof. Dr. Hasan Kamil Yilmaz di pejabat beliau.
Baginda berangkat tiba di sini hari ini, bagi merasmikan Seminar Warisan Nabawi (Swan) 2018 yang dianjurkan oleh International University for Renewal (IUR) Turki dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), esok. – UTUSAN ONLINE











