KUALA LUMPUR 10 Okt. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan membatalkan projek kerja bawah tanah bagi Transit Aliran Massa 2 (MRT2).

Sebaliknya, Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Tony Pua berkata, kerajaan sebenarnya merancang untuk memberikan semula kontrak itu kepada kontraktor yang boleh menjalankan operasi pada kos yang lebih rendah.
“Kepada seramai 20,000 pekerja, seperti yang didakwa MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn. Bhd. (MMC Gamuda) akan kehilangan pekerjaan mereka akibat penamatan kontrak, biar saya tekankan bahawa kerajaan bukannya membatalkan projek tersebut.
“Anda akan menemukan banyak lagi peluang apabila projek baharu dijalankan pada kos yang lebih rendah, manakala penjimatan yang diperoleh bermakna lebih banyak projek akan dijalankan pada masa akan datang,”katanya dalam surat terbuka kepada MMC Gamuda yang tular di media sosial hari ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia kelmarin, MMC Gamuda berkata, lebih 20,000 tenaga kerja akan kehilangan pekerjaan selepas kontrak kerja bawah tanah MRT2 ditamatkan.- UTUSAN ONLINE











