PUTRAJAYA 4 Okt.- Kenderaan yang dipercayai membawa isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dilihat keluar dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 7.45 pagi.
Kenderaan jenis Toyota Alphard berwarna hitam yang membawa Rosmah itu menuju ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur (KL) untuk proses pendakwaan.
Semalam, SPRM mengesahkan Rosmah akan didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 di Mahkamah Sesyen KL hari ini.
Beliau dijangka menghadapi beberapa pertuduhan di bawah akta tersebut.
Isteri kepada Ahli Parlimen Pekan itu ditahan SPRM pada pukul 3.20 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan berhubung kes SRC International Sdn. Bhd. iaitu bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kes penggubahan wang haram. – UTUSAN ONLINE











