Kenapa tanggung semuanya? - Utusan Malaysia

Kenapa tanggung semuanya?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJADIAN seorang remaja berusia 18 tahun meninggal dunia bersama bayinya di dalam tandas di rumahnya di Parit Buntar, Perak baru-baru ini, mengingatkan saya tentang satu lagi kes serupa sebelum ini pada November ­tahun lalu – seorang budak berusia 15 tahun melahirkan bayi di dalam tandas di kompleks beli-belah di Sabah. Bezanya, budak yang sepatutnya belajar dalam tingkatan tiga itu, berjaya diselamatkan bersama bayinya.

Ini adalah kejadian yang amat malang bagi remaja yang terlibat. Malang, sebabnya, mangsa yang menanggung segala-galanya sendirian. Amat menyedihkan, mereka menahan kesakitan, dibelenggu ketakutan, terbeban dengan segala macam perasaan dan pada masa sama mungkin sarat dengan rasa malu dalam tempoh berbulan-bulan lamanya.

Sedangkan, dalam tempoh itu, jika orang terdekatnya ‘sedar’ mungkin ia tidak akan berakhir dengan melahirkan sendirian di dalam bilik air. Dan bila menanggungnya sendirian, bagaimana pula selepas melahirkan? Bayi itu hendak diletak di mana? Mungkinkah berlaku lagi kes pembuangan bayi sama ada masih bernyawa atau tidak?

Kes seperti ini bukan baharu. Sudah terlalu banyak berlaku. Dan setiap kali dipaparkan beritanya, orang ramai pasti tertanya-tanya – tidak perasankah ibu bapa, anak sedang mengandung? Macam mana boleh sampai tidak tahu?

Saya pasti, anak yang mengandung itu tidak akan buka mulut. Pastinya dia akan merasa amat takut. Takut teruk dimarahi, dipukul, tidak diterima keluarga dan macam-macam lagi. Ditambah pula dengan drama-drama Melayu di televisyen yang sering menakut-nakutkan, apabila terjebak dalam kancah seperti itu.

Dan yang terlepas bebas ialah lelaki yang melakukannya. Tidak kiralah teman lelaki atau perogol yang sepatutnya diheret ke muka pengadilan.

Dalam hal ini, keluarga yang terlibat jika mengetahui lebih awal, tolak tepilah soal malu dan marah. Nasi sudah menjadi bubur. Yang penting, jika ada membabitkan jenayah di bawah umur, orang yang melakukannya harus ditangkap dan jika suka sama suka pun, masih ada ruang yang luas untuk dibawa mangsa ini ke jalan yang benar.

Melakukan kesilapan dalam hidup, tidak bermakna anak itu akan terus dihukum dengan kesilapan tersebut seumur hidup. Semua orang boleh berubah. Orang jahat boleh menjadi baik. Kadang-kadang kesilapan besar yang dilakukan, merubah diri seseorang itu berjaya dalam hidup.

Saya sentiasa percaya, ibu bapa perlu sentiasa berkomunikasi dengan anak-anak. Lebih-lebih lagi anak remaja. Mengetahui segala apa yang mereka lakukan. Melayani apa saja pertanyaan dan masalah mereka tanpa rasa letih. Kita tidak boleh membiarkan mereka melayari zaman remajanya sendirian. Mereka belum boleh bertindak dan berfikir secara matang. Sedangkan yang sudah berusia pun masih berfikiran seperti budak-budak.

Dan kita juga mahukan remaja yang terjebak dalam perkara ini tampil meminta bantuan. Kalau takut untuk memberi­tahu keluarga, sudah sepatutnya pertubuhan-pertubuhan kerajaan yang berkaitan keluarga dan wanita mewujudkan pusat-pusat khidmat untuk menangani kes seperti ini.

Kita bukan mahu menggalakkan remaja berzina dan datang ke sana bila ada masalah. Kita mahu kes seperti ini ditangani dengan baik, tiada melibatkan nyawa. Pada masa sama, remaja terlibat memerlukan bimbingan, bukan dihina, ­dicemuh, dipandang serong dan dimarahi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN