KUALA LUMPUR 8 Okt. – Selepas mendapat kelebihan 49 undi berbanding Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam saingan pemilihan untuk jawatan Timbalan Presiden PKR di enam negeri, ramai menjangkakan Rafizi bakal berdepan dengan laluan getir pada pemilihan parti peringkat Selangor, minggu depan.

Pemerhati politik melihat Selangor sebagai kubu kuat Mohamed Azmin memandangkan kerjaya politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu bermula di negeri itu.
Walaupun ramai yang berpendapat sukar untuk Rafizi mengatasi Mohamed Azmin dalam saingan pemilihan di Selangor, dalam politik segalanya tidak mustahil.
Rafizi sendiri membuktikan beliau bukan seorang yang boleh dipandang mudah ekoran kemenangan di empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang serta majoriti besar di Wilayah Persekutuan yang membolehkan beliau mengumpul 19,161 undi berbanding Mohamed Azmin (19,112 undi),
Jika dinilai dari segi pangkat dan kedudukan jawatan, Rafizi jauh ketinggalan berbanding Mohamed Azmin, namun ternyata anak kelahiran Besut itu mampu menyengat lawannya.
Apa sebenarnya kelebihan Rafizi yang dikatakan seorang penganggur berbanding Mohamed Azmin yang mempunyai profil tinggi dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) diketuai Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad?
Rafizi sebenarnya mendapat sokongan ahli akar umbi yang melihat beliau sebagai pendukung utama kumpulan reformis yang berdiri teguh di belakang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah Rafizi juga dilihat sebagai watak utama yang menggoncang kedudukan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan pendedahan skandal seperti National Feedlot Corporation (NFC).
Bagaimanapun, selepas tertubuh kerajaan PH, Mohamed Azmin pula dilihat lebih mesra kepada Dr. Mahathir selepas sanggup meninggalkan jawatan Menteri Besar Selangor.
Biarpun dinafikan oleh Ahli Parlimen Gombak itu berulang kali, namun penilaian ahli diterjemahkan melalui undi dan kini Rafizi mendahului saingan merebut jawatan Timbalan Presiden.
Apakah dengan perkembangan terbaharu keputusan pemilihan PKR itu, gandingan idaman para pendukung reformis iaitu Anwar-Rafizi bakal menjadi kenyataan selepas proses pemilihan berakhir 10 November ini?











