KOTA BHARU 15 Okt. – Sebanyak 607 pusat pemindahan banjir yang mampu menampung kapasiti seramai 198,000 orang disediakan di semua jajahan di negeri ini.
Timbalan Setiausaha Pembangunan Kerajaan negeri, Datuk Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal berkata, perkara itu merupakan persediaan awal bagi menghadapi banjir yang dijangka berlaku pada musim tengkujuh nanti.
“Musim tengkujuh dijangka bermula pada November sehingga Mac tahun depan dan hujan lebat diramal berlaku pada November sehingga Disember depan.
“Kita dapati taburan hujan sehingga bulan ini kurang daripada 50 peratus dan kita berharap jumlah taburan hujan tidak mencecah 50 peratus dalam tempoh dua bulan akan datang.
“Ini kerana, sekiranya keadaan itu berlaku sudah tentu boleh menyebabkan keadaan luar biasa yang menuntut kesiapsiagaan dan kewaspadaan pada tahap tinggi,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di Bilik Gerakan Negeri, Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Mohamed Faziharudean berkata, semua agensi sudah bersiap sedia untuk melakukan kerja-kerja menyelamat dan kebajikan penduduk.
“Seramai 4,471 anggota badan beruniform melibatkan pelbagai agensi terlibat dalam persediaan menghadapi banjir pada tahun ini.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat juga sudah membuat persiapan dengan pembelian barang-barang keperluan semasa banjir seperti tilam, selimut, bantal dan makanan kering yang akan dihantar ke 207 Pengkalan Hadapan di negeri ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










