KUALA LUMPUR 13 Okt. – Sebuah kedai emas di dalam pasar raya di kawasan Bangi Avenue kerugian kira-kira RM500,000 selepas disamun tiga lelaki, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusof berkata, dalam kejadian pada pukul 1.47 petang itu, ketiga-tiga suspek yang bersenjatakan objek menyerupai pistol dan juga tukul besi menyamun kedai emas tersebut dalam tempoh dua minit.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dua suspek masuk ke dalam premis untuk menyamun manakala seorang lagi menunggu di luar.
“Suspek melarikan diri menggunakan dua buah motosikal yang belum dikenal pasti jenis dan nombor pendaftaran,” katanya dalam kenyataan, di sini malam tadi.
Menurut Ahmad Dzaffir, ini merupakan kali kedua premis terbabit disamun sejak mula beroperasi dua tahun lalu.
Tambahnya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai samun bersenjata yang disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superintenden Redzuan di talian 0192714100,” katanya . – UTUSAN ONLINE











