BENTONG 18 Okt. – Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, keadaan kesihatan ayahandanya yang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) bertambah baik.
Titah baginda, Sultan Ahmad Shah masih di bawah pengawasan serius di IJN.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat dan pemimpin negeri Pahang yang mendoakan kesihatan Tuanku.
“Alhamdulillah saya baru dapat laporan terkini petang tadi, Tuanku masih lagi beristirahat dan masih di bawah jagaan doktor di IJN,” titah baginda pada majlis kesyukuran dan doa selamat sempena memuliakan ulang tahun hari keputeraan Sultan Pahang.
Majlis yang diadakan di Masjid Sultan Ahmad Shah Bentong di sini itu turut disertai oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat kerajaan negeri, pemimpin setempat dan kira-kira 1,000 hadirin.
Sempena majlis itu, Tengku Abdullah berkenan mengurniakan sumbangan kepada 200 asnaf sekitar daerah ini. – UTUSAN ONLINE











