KUALA LUMPUR 25 Okt. – Sentiasa dalam ketakutan, tidak cukup bekalan makanan, sering berpindah randah dan terpaksa mengharapkan simpati masyarakat tempatan di Syria untuk meneruskan hidup.
Itu penderitaan yang terpaksa diharungi wanita yang mahu dikenali sebagai Aisyah, 31, bersama dua anaknya yang berusia lima dan dua tahun selepas suaminya, seorang anggota militan Daesh maut ketika berperang di Syria pada 9 Februari lalu.
Namun kesengsaraan hidup hampir sembilan bulan itu berakhir selepas Aisyah dan dua anaknya diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta dibawa pulang ke negara ini pada 6 Oktober lalu.
Mengimbas kembali bagaimana dia dibawa ke Syria, Aisyah memberitahu, arwah suaminya yang merupakan bekas juruteknik sebuah syarikat minyak dan gas telah merancang percutian keluarga ke Istanbul, Turki pada Mac 2016.
Menurutnya, dengan perasaan gembira dia dan arwah suami pergi ke sana bersama anak mereka yang berusia tiga tahun.
“Ketika itu saya mengandung tujuh bulan dan menginap di sebuah hotel di Istanbul selama lima hari sebelum arwah suami kemudian menyewa sebuah rumah selama setahun.
“Saya pada mulanya tidak tahu arwah menyertai Daesh sehinggalah ketika kami hidup menyewa, baru saya tahu cerita sebenar rupanya percutian kami adalah alasan untuk dia bersama militan Daesh di Syria,” katanya ketika ditemui di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Aisyah memberitahu, proses untuk menyusup masuk ke sempadan Syria bukanlah mudah apatah lagi selepas ditipu penyeludup yang sepatutnya membantu mereka.
Jelasnya, dia terpaksa meredah hutan bersama dengan anak-anaknya yang masih kecil selepas ditinggalkan oleh penyeludup untuk mencari sendiri jalan masuk ke Syria.
“Kami kemudian berjaya menyusup masuk ke Syria dan tinggal bersama warga Uzbekistan di kawasan bernama Idlib.
“Hidup di sana memang susah kerana bukan sahaja bekalan makanan dan elektrik tidak mencukupi, tetapi bunyi bom sering kedengaran hingga kami ketakutan,” ujarnya yang tinggal selama setahun enam bulan di Syria.
Hati wanita yang berasal dari Terengganu itu mula terdetik untuk pulang ke tanah air selepas mengetahui kematian suaminya ketika berperang.










