KUALA LUMPUR – Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menitahkan kerajaan negeri Pahang untuk mengkaji semula dasar-dasar hutan negeri.
Titah baginda, ini bagi mengelakkan kerugian kepada kerajaan negeri selain memberi implikasi negatif kepada rakyat Pahang.
Ia termasuk aspek penguat kuasaan sumber hutan di negeri tersebut.
“Suka untuk saya mengingatkan kepentingan penguat kuasaan terhadap sumber semula jadi untuk terus dipertingkatkan.
“Saya mahu semua jabatan bertindak tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang dan menyebabkan sumber semula jadi Pahang terjejas,” titah baginda dalam ucapan Majlis Menandatangani Perjanjian Projek Penghutanan Semula antara Kerajaan Pahang dengan syarikat Landasan Erajaya Sdn. Bhd. di sini petang tadi.
Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.
Sementara itu, Wan Rosdy pada sidang akhbar berkata, kajian itu termasuk menaikkan kadar royalti, premium dan Kumpulan Wang Pembangunan Hutan (SES) Pahang yang tidak dinaikkan sejak 30 tahun lalu. – K! ONLINE










