Kad ketibaan elektronik baharu ICA diuji esok - Utusan Malaysia

Kad ketibaan elektronik baharu ICA diuji esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA 3 Okt. – Pihak Berkuasa Imigresen Pusat Pemeriksaan (ICA) akan melancarkan kad ketibaan elektronik bagi pelawat asing ke Singapura dan penggunaan kad itu akan diuji selama tiga bulan mulai esok.

Ia bagi menggantikan kad pendaratan/berlepas jenis kertas bagi pelawat asing yang ketika ini perlu diserahkan semasa ketibaan.

Ketika ini, pelawat asing ke Singapura perlu mengisi kad pendaratan/berlepas jenis kertas sebaik tiba yang mengandungi maklumat penting seperti penerbangan mereka ke Singapura dan di mana mereka menginap di Singapura.

“Kami telah membuat semakan dan butiran ini kekal berguna bagi kawalan sempadan dan sebagai daripada usaha kami untuk langkah keselamatan,” kata ICA dalam kenyataan di sini.

Menerusi kad ketibaan elektronik, pelawat boleh mengemukakan maklumat peribadi mereka dan butiran perjalanan menerusi laman sesawang ICA atau aplikasi mudah alih sebelum tiba di Singapura.

Pelawat dengan itu hanya perlu mengemukakan pasport untuk pelepasan imigresen sebaik tiba.



Terdapat dalam pelbagai bahasa asing, kad ketibaan elektronik itu yang telah diisi lebih awal, kemudiannya akan diakses menerusi sistem imigresen ICA.



Pelawat asing yang melakukan perjalanan bersama-sama keluarga atau dalam kumpulan kecil diberi pilihan untuk mengemukakan maklumat berkenaan secara berkumpulan.



Maklumat perjalanan seperti butiran penerbangan, tempat terakhir berlepas, tarikh dijangka tiba dan berlepas serta alamat di Singapura akan secara automatik meliputi setiap orang dalam kumpulan itu.



Aplikasi mudah alih itu akan membolehkan pelawat menyimpan maklumat yang telah dikemukakan pada lawatan sebelumnya untuk digunakan bagi perjalanan seterusnya ke Singapura. – BERNAMA


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN