Juruterbang, krew kongsi pengalaman - Utusan Malaysia

Juruterbang, krew kongsi pengalaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang telah berpengalaman lama dalam misi bantuan termasuk bencana tsunami Acheh pada tahun 2004 turut dipanggil bersama-sama lebih 10 buah negara lain antaranya Australia, India, Korea Selatan, Singapura, Amerika Syarikat (AS), Qatar, Perancis dan United Kingdom (UK) dalam misi menghantar bantuan ke Palu, Sulawesi, Indonesia baru-baru ini.

Misi yang bermula dengan penghantaran pesawat A400M dari 22 Skuadron yang berpangkalan di TUDM Subang itu telah berjaya membuktikan tahap kemampuan perkhidmatan ini, sekali gus mengharumkan nama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Malah, misi ini juga berjaya mencipta sejarah selepas membawa dan mendarat dengan selamat bersama jentera seberat 22 tan di Lapangan Terbang Mutiara SIS Al-Jufri, Palu walaupun landasannya mengalami kerosakan serta dihadkan kepada pesawat kecil serta sederhana seperti C-130.

Misi yang disertai kira-kira 23 pegawai dan anggota TUDM turut membabitkan beberapa kepakaran lain seperti Mobile Air Movement Section (MAMS) dan kejuruteraan.

Menurut Pegawai Memerintah 22 Skuadron, Leftenan Kolonel Baharin Mohamad, perasaan takut tetap ada ketika mendarat di Palu dengan jentera seberat 22 tan itu walaupun berpengalaman dalam pelbagai misi sebelum ini.

Katanya, beliau juga perlu melakukan persediaan rapi bersama krew pesawat termasuk memberi penerangan dan mengadakan perbincangan serta kerjasama krew bermula dari saat memasukkan jentera tersebut hingga tiba dengan selamat di Palu.

“Ia bukan satu proses mudah kerana jentera ini begitu berat dan mempunyai runut (tayar berantai) seperti kereta kebal. Tetapi kerjasama dan semangat berpasukan semua krew terlibat serta yakin dengan kemampuan pesawat ini membuatkan kami semua berjaya.

“Malah, kemampuan pesawat A400M yang mempunyai 12 tayar sememangnya digunakan untuk menampung bebanan berat lebih-lebih lagi ketika mendarat. Umpama rakit yang dipasang pelampung, semakin berat sesuatu barang, semakin banyak pelampung yang diletakkan di bawahnya untuk menjadi lebih stabil,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Baharin turut berkata, kira-kira 350 tan barangan keperluan dibawa pesawat tersebut dalam misi yang memakan masa kira-kira lebih seminggu itu dengan dibantu oleh Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Udara (TNI-AU).

Dalam pada itu, anggota cawangan MAMS, Sarjan (U) Mohd. Asril Mahadi, 37, berkata, ini merupakan pengalaman pertamanya sepanjang lebih 15 tahun berkhidmat.

“Bukan mudah untuk memuat naik jentera ini dalam pesawat A400M. Kami mengambil masa lebih dua jam untuk memastikan ia benar-benar selamat apabila berada dalam pesawat.

“Tambahan pula, ia kali pertama kami membawa masuk dan menghantar jentera ke kawasan bencana. Ini satu pengalaman hebat,” ujarnya.

Sementara itu, loadmaster Flait Sarjan Mohd. Azril Mohd. Ayob, 35, berkata, aspek keselamatan antara perkara utama yang dititik berat semasa mengendalikan jentera berkenaan.

“Kita perlu ukur ruang yang ada dengan tepat ketika jentera dimasukkan ke dalam pesawat supaya ia tidak merosakkan komponen. Malah, keselamatan krew dan penumpang ketika ia diterbangkan juga harus terjaga,” jelasnya.

Misi itu juga turut mendapat penghargaan daripada kerajaan Indonesia menerusi Panglima Komando Operasi Angkatan Udara (Koopsau) 1, Marsekal (Marsyal) Muda TNI Nanang Santoso.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN