KUALA LUMPUR 17 Okt. – Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan Jawatankuasa Disiplin PKR akan menyiasat dakwaan kononnya berlaku politik wang dalam pemilihan parti sebagaimana dibangkitkan calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli.
Perkara itu dimaklumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, hari ini
“Kita sudah ambil semua maklumat dan serah kepada JPP dan Jawatankuasa Disiplin. Mereka akan siasat,” kata beliau.
Anwar mengulas mengenai perkara itu yang dimaklumkan dibawa ke dalam mesyuarat biro politik PKR malam semalam.
Rafizi dalam satu majlis di Seremban kelmarin mendakwa ahli parti itu ditawarkan wang tunai RM100 bagi setiap undi untuk calon tertentu dalam pemilihan PKR yang sedang berlangsung.
Beliau mendakwa, perkara itu berlaku dalam pemilihan yang telah diadakan di enam negeri sejak 20 September lalu. – UTUSAN ONLINE










