JODOH Julen Lopetegui bersama The Galaticos tidak berpanjangan apabila jurulatih dari Sepanyol itu dipecat pengurusan Real Madrid kelmarin selepas hanya kira-kira empat bulan berada di Santiago Bernabeu sejak Jun lalu.
Pemecatan jurulatih berusia 52 tahun itu dipercayai ekoran prestasi buruk The Galaticos selepas tewas 1-5 kepada Barcelona dalam saingan La Liga minggu lalu.
Bagaimanapun, di sebalik pemecatan tersebut, Lopetegui tetap menyatakan penghargaan terhadap pengurusan pasukan kerana memberi peluang kepadanya mengendalikan The Galaticos.
“Selepas keputusan yang dibuat ahli lembaga pengarah Real Madrid, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana memberi peluang serta kepercayaan untuk saya kendalikan pasukan ini,” ujar Lopetegui.
Difahamkan, bekas pengurus Chelsea dan Juventus, Antonio Conte berada dalam senarai paling atas untuk dibawa masuk ke Santiago Bernabeu, namun kedua-dua pihak dikatakan masih belum mencapai kata sepakat.










