KOTA BHARU 2 Okt. – Pencapaian Jabatan Kerja Raya (JKR) melahirkan pelbagai inovasi saban tahun sehingga diiktiraf di peringkat antarabangsa menunjukkan jabatan itu adalah sebuah agensi pelaksana yang bertaraf dunia.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, semua pihak perlu berbangga dengan JKR dan menghargai segala usaha dilakukan selama ini dalam menyediakan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.
Beliau berkata, jabatan itu mempunyai golongan bijak pandai yang sangat berbakat, inovatif dan kreatif yang bukan sahaja memberi manfaat kepada negara bahkan dunia.
“Saya sangat berbangga dengan kerana ini adalah agensi pelaksana bertaraf dunia yang ada di negara kita, semua orang sebenarnya perlu berbangga dengan JKR.
“Kementerian dan jabatan utama kita JKR akan sentiasa memberi perhatian kepada inovasi, kreativiti dan karya baharu dalam bidang profesional dan bidang yang boleh membawa keselesaan kepada rakyat,” katanya selepas merasmikan Hari Inovasi JKR 2018 ‘Leveraging Innovation Towards Industrial Revolution 4.0 (IR 4.0)’ di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Zohari Akob dan Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Ir. Dr. Roslan Md Taha.
Antara pencapaian JKR tahun ini adalah memenangi Anugerah Pingat Emas pada Pameran International Research Innovation, Invention Solution Exposition (IRIISE 2018) di Kuala Lumpur bagi produk penyelidikan ‘Asset Replacement Cost Decision Making Model (ARCDM) For Government Buildings’ iaitu panduan membuat keputusan untuk menentukan sama ada aset bangunan kerajaan patut dinaiktaraf atau dirobohkan.
Satu lagi produk penyelidikan iaitu ‘Change Management Readiness Framework For Malaysian Public Organisation’ yang dipertandingkan dalam ‘The 5th Korea Creative Invention Contest (CIC) 2018’ di Seoul, Korea pada Ogos lalu telah menang Anugerah Khas dari World Inventors Association (WIA) dan Anugerah Pingat Emas dari Korean Invention News (KINEWS).
Inovasi berbentuk kerangka kerja untuk panduan pengurusan awam di Malaysia ini turut menang Anugerah Pingat Emas di ‘International Invention Innnovation Competition in Canada’ (iCAN) 2018’ anjuran Toronto International Society of Innovation and Advanced Skills (TISIAS). – UTUSAN ONLINE










