KUALA LUMPUR 4 Okt. – Jenazah enam anggota bomba yang lemas dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di lombong Taman Putra Perdana, Puchong dibawa ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam untuk diberi penghormatan terakhir sebelum dikebumikan hari ini.
Van jenazah yang membawa enam mangsa bergerak ke BBP Shah Alam kira-kira pukul 7.45 pagi diiringi ahli keluarga masing-masing.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu enam anggota bomba dari Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Selangor terkorban ketika melakukan usaha mencari dan menyelamat seorang remaja di kawasan lombong berkenaan.
Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada pusaran air deras yang terjadi akibat hujan lebat sejak petang tadi.
Empat daripada mangsa terkorban adalah anggota BBP Pelabuhan Klang iaitu Mohd. Fatah Hashim, 34: Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24.
Dua lagi, anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25. – UTUSAN ONLINE











