Jemaah Haji: PM ucap terima kasih kepada Arab Saudi - Utusan Malaysia

Jemaah Haji: PM ucap terima kasih kepada Arab Saudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 26 Okt. – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi atas layanan baik yang diberikan kepada jemaah haji Malaysia. “Secara umumnya kerajaan Arab Saudi adalah tuan rumah yang baik,’’ katanya kepada media di pejabatnya di sini hari ini.

Terdahulu, Dr. Mahathir menerima kunjungan hormat daripada Menteri Luar Arab Saudi, Adel Ahmed Al-Jubeir di bangunan Perdana Putra.

Kedua-dua mereka menga­dakan perbincangan selama kira-kira 30 minit bersempena lawatan tiga hari Adel ke Malaysia bermula Rabu lalu.

Mengenai kuota jemaah haji, Dr. Mahathir turut menceritakan kepada Adel mengenai jumlah pencarum Tabung Haji yang ramai di negara ini.

“Saya tidak minta tambah kuota haji, tapi saya terangkan bahawa yang hendak pergi ramai tetapi kerana umurnya sudah le­bih mungkin mereka tidak dapat pergi,” katanya.

Kuota rasmi jemaah haji Malaysia bagi tahun ini adalah 30,200 orang.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, derma RM2.6 bilion yang didakwa diterima bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiada kena mengena dengan Arab Saudi.

Perkara itu dimaklumkan Adel kepada beliau dalam pertemuan yang berlangsung di Wisma Putra di sini hari ini.

‘‘Beliau (Adel) menyatakan bahawa (derma RM2.6 bilion) tidak ada kena mengena dengan kerajaan Arab Saudi,’’ katanya.

Menurut Saifuddin, keti­ka mereka bertemu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-73 di New York pada bulan lalu, Adel memberitahunya bahawa kerajaan Arab Saudi akan be­kerjasama dalam siasatan 1MDB dan tiada kaitan dengan derma RM2.6 bilion.

“Hari ini beliau ulangi sekali lagi bahawa itu (derma RM2.6 bilion) tiada kaitan dengan Arab Saudi,” katanya.

Pada 2016 ketika menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13 di Istanbul, Turki, Adel dilaporkan berkata, sumbangan derma kepada Najib datang dari Arab Saudi. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN