KUALA LUMPUR 29 Okt. – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sesekali mencurigai perjanjian dan persefahaman yang dicapai dalam Pakatan Harapan berhubung kedudukannya sebagai Perdana Menteri kelapan menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Justeru, beliau menyifatkan tanggapan segelintir pihak kononnya 40 ahli Parlimen UMNO akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal menjadi penamat hasratnya untuk menjadi Perdana Menteri kelapan sebagai tafsiran media.
“Terima kasihlah dia (Tan Sri Annuar Musa) prihatin dengan perjalanan saya, tapi saya tidak fikir begitu.

“Ini semua bacaan dan tafsiran media seperti sesuatu helah yang besar, konspirasi berulang dari tahun 1998, itu tafsiran media. Saya tiada sebab untuk mencurigai perjanjian dan persefahaman antara kita,” katanya kepada Utusan Malaysia di lobi Parlimen, di sini hari ini.
Baru-baru ini, Annuar yang juga Setiausaha Agung UMNO dilaporkan berkata, dakwaan oleh Ahli Majlis Pimpinan Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin itu sebagai provokasi ibarat mahu menyekat kemaraan Anwar.
Sementara itu, ditanya sama ada kehadiran ahli Parlimen UMNO ke dalam Pakatan Harapan memberi kesan baik kepada gabungan parti kerajaan, Anwar berkata, perkara tersebut perlu dibincangkan.
“Seperti disebut Dr. Mahathir, teliti tengok biar bebas dahulu dan bincang bersama,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menerima teguran oleh badan pilihan raya, Bersih bahawa beliau melakukan enam kesalahan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, 13 Oktober lalu.
“Saya rasa tidak menyalahi, bagaimanapun saya perhati teguran dan kalau betul, kita kena perketatkan peraturan-peraturan itu,” katanya.










