NAMPAKNYA hasrat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menang mudah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson 13 Oktober ini boleh dikatakan terdapat sedikit `masalah’ apabila bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga bekas anggota kabinet, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad turut bertanding atas tiket calon Bebas bersama lima calon lain.
Selain Mohd. Isa, calon Pas, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar juga dilihat sebagai saingan sebenar buat Anwar. Sementara empat calon Bebas yang lain termasuk Mohd. Saiful Bukhari Azlan dengan memetik analisis Ketua Biro Utusan Malaysia Negeri Sembilan, Haradian Shah Hamdan, hanya menambahkan rencah PRK kali ini.
Berbalik kepada keputusan Mohd. Isa untuk bertanding selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) bertindak memboikot PRK tersebut, rata-rata penganalisis politik berpandangan bekas Pengerusi Felda itu ada kekuatannya sendiri terutama sebagai calon anak tempatan. Hujah mereka ini ada asasnya.
Seperti mana yang dinyatakan dalam temubual ringkas bersama Utusan Malaysia tiga hari lalu, Mohd. Isa berkata: ”Saya bertanding sebab ini Port Dickson, takkan nak beri orang luar. Untuk elak dipecat saya berhentilah.”
Bagi mendapatkan maklumat lanjut, penulis telah bertemu dengan seorang rakan sekolah yang selama ini begitu setia membantu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan tersebut sama ada dalam keadaan susah mahu pun senang.
Katanya kepada penulis, Mohd. Isa dibesarkan di Bagan Pinang dan mendapat pendidikan sekolah rendah di Bagan Pinang. Boleh dikatakan semua penduduk Bagan Pinang dan Port Dickson amat mengenali beliau dan keluarganya. Isterinya yang pertama Allahyarham Puan Sri Hazizah Tumin juga berasal dari Bagan Pinang.
Dengan kata lain, Bagan Pinang dan Port Dickson adalah tempat asalnya Mohd. Isa dan tempat asal Allahyarham isterinya. Jumlah keluarga mereka juga ramai. Tidak hairanlah ketika Mohd. Isa bertanding dalam PRK Bagan Pinang 2009, beliau berjaya menewaskan calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar dengan majoriti lebih 5,000 undi. Mungkin juga punca kemenangannya dalam PRK itu disebabkan faktor anak tempatan. Lagipun, selama berkecimpung dalam politik lebih 40 tahun lalu, Mohd. Isa tidak pernah menjadi calon kerusi Parlimen di tempat asalnya. Ini kerana Parlimen Port Dickson yang dahulunya dikenali dengan nama Parlimen Teluk Kemang diperuntukkan untuk calon MIC.
Justeru, inilah waktu paling sesuai untuk beliau meneruskan khidmat bakti untuk orang Port Dickson selepas diberi amanah oleh BN untuk menjadi Ahli Parlimen Jempol selama dua penggal.
“Tan Sri mahu meneruskan khidmat baktinya kepada penduduk Port Dickson sebagai Ahli Parlimen Port Dickson. Selama ini pun Tan Sri tidak pernah berpeluang untuk mewakili penduduk di tempat asalnya. Sebab itu beliau merasakan inilah peluang terbaik untuknya berbuat demikian meskipun terpaksa berhadapan dengan Anwar,” kata rakan penulis.
Ketika ditanya tentang cabaran yang perlu dihadapi oleh Mohd. Isa semasa tempoh berkempen, dia akui ada sedikit kekangan dan atas faktor itu kempen lebih kepada mendekati pengundi secara peribadi.
Katanya kepada penulis, pendekatan itu lebih sesuai memandangkan Mohd. Isa sudah cukup dikenali di Port Dickson. Cuma ada sedikit masalah dalam tempoh dua tiga hari ini ialah untuk membuat pencerahan bahawa Mohd. Isa bukan mewakili BN tetapi Bebas.
“Mereka kata, ok Tan Sri kita orang akan pangkah dacing. Ini juga satu masalah. Untuk PRK kali ini Tan Sri menggunakan logo kerusi. Mahu tidak mahu dalam tempoh berkempen ini kita perlu giatkan usaha untuk membuat pencerahan,” kata rakan penulis ini lagi.
Nampaknya team berkempen Mohd. Isa perlu bekerja keras untuk memaklumkan kepada semua pengundi bahawa logo yang digunakan oleh Mohd. Isa adalah kerusi dan bukan dacing.
Dalam perkembangan berkaitan, penulis difahamkan Anwar all out. Semua jentera kempen Pakatan Harapan (PH) telah dikerah untuk ke Port Dickson bagi memastikan kemenangan Anwar.
Hanya kemenangan Anwar sahaja yang akan menjamin beliau memegang jawatan Perdana Menteri kelapan. Dengan kata lain, Anwar tidak boleh kalah. Sekiranya kalah, cita-cita Anwar untuk menjadi Perdana Menteri mungkin terbantut.
Sungguhpun begitu jangan terkejut jika keputusan sebaliknya berlaku. Justeru jangan lihat calon-calon lain terutama Mohd. Isa dengan sebelah mata. Tidak mustahil Mohd. Isa boleh membuat kejutan. Beliau ada kelebihan iaitu sebagai anak tempatan. Hakikatnya yang akan memilih nanti ialah pengundi Port Dickson berjumlah 75,212 orang dan bukannya orang di luar.











