KUALA LUMPUR 1 Okt. – Ahli Parlimen yang meninggalkan UMNO wajar mengosongkan kerusi masing-masing kerana mereka memperoleh kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukannya disebabkan faktor calon semata-mata tetapi juga merupakan hasil usaha jentera parti sendiri.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, apa yang diusahakan kesemua jentera parti bukannya dibuat secara percuma, sebaliknya melibatkan perbelanjaan cukup banyak, malah ahli akar umbi menaruh kepercayaan sepenuhnya terhadap calon yang bertanding.
Justeru, beliau mahu kerusi ahli Parlimen tersebut dikosongkan dan memilih semula wakil rakyat yang baharu.
“Jangan bongkak dan ingat mereka menang dengan sendiri, sedangkan kemenangan diperoleh didukung jentera tidak kira sayap Wanita dan Puteri, pelbagai program dibuat dan perbelanjaan serta pengorbanan yang dibuat untuk kempen mereka adalah tidak ternilai.
“Kita sudah rujuk kepada peguam dan memang kita boleh saman mereka untuk meminta ganti rugi terhadap apa ditanggung parti selama ini. Ahli Parlimen perlu dipilih semula, mereka sudah tidak percaya dengan perjuangan parti tetapi menerima kenikmatan begitu sahaja, habis madu sepah dibuang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mendedahkan bahawa writ saman dihantar kepada beberapa individu bagi menuntut bayaran balik yang melibatkan kos selain kerusi dimenangi mereka atas tiket UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu dikosongkan.
Tindakan sesetengah ahli Parlimen yang ‘lompat’ parti sering menjadi kritikan pelbagai pihak kerana dianggap tidak tetap dengan pendirian serta setia dengan perjuangan parti yang didukungnya sebelum ini.
Bagi Asyraf, mereka enggan mengosongkan kerusi bukan sahaja mengkhianati amanah yang diberikan ahli akar umbi tetapi juga amanah diberikan rakyat.











