NUSA DUA 14 Okt. – Pengerusi Eksekutif Alibaba Group Holding, Jack Ma merancang untuk menubuhkan sebuah institut bagi melatih usahawan teknologi di Indonesia.
Ma yang juga merupakan penasihat e-dagang Indonesia bagaimanapun tidak memberikan maklumat lanjut bilakah Institut Keusahawanan Jack Ma akan dilancarkan, namun pihaknya menyasarkan untuk melatih kira-kira 1,000 usahawan setahun dalam tempoh 10 tahun.
“Kami memberikan banyak peluang kepada golongan muda Indonesia untuk belajar,” katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan menteri-menteri Indonesia pada mesyuarat Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia di sini baru-baru ini.
Pengasas Alibaba yang merupakan firma e-dagang terbesar China tu berkata, adalah penting bagi Indonesia untuk melabur dalam pembangunan modal insan kerana ‘hanya apabila seseorang itu semakin baik, apabila minda berubah, kemahiran ditambah baik, maka barulah kita boleh memasuki tempoh digital’.
Indonesia mempunyai kekurangan jurutera terlatih dalam teknologi dan institut tersebut juga akan melatih beratus-ratus pemaju dan jurutera mengenai pengkomputeran awan untuk membantu menjadikan perniagaan Indonesia lebih pintar digital.
Negara tersebut juga merupakan pasaran utama bagi Alibaba, dengan cabang pengkomputeran awannya, Alibaba Cloud melancarkan pusat data di Indonesia pada Mac lalu.
Ma berkata, syarikatnya akan terus melabur bukan sahaja untuk e-dagang, tetapi juga pengkomputeran awan, logistik dan infrastruktur di Indonesia, di samping membantu perniagaan tempatan berkembang.
Menteri Komunikasi Indonesia, Rudiantara memberitahu Reuters pada bulan September bahawa Indonesia akan bekerjasama dengan Ma untuk memanfaatkan perniagaan Alibaba untuk meningkatkan eksportnya, terutama ke China.
Dalam pada itu McKinsey menganggarkan nilai pasaran e-dagang Indonesia akan melonjak kepada sekurang-kurangnya AS$55 bilion (RM230 bilion) menjelang 2022 daripada berbanding AS$8 bilion (RM33.3 bilion) pada 2017.
Pada hari Jumaat, Ma memberitahu panel perbincangan di mesyuarat IMF dan Bank Dunia bahawa internet direka untuk negara-negara membangun’, dengan ‘peluang besar di Afrika’ juga. – REUTERS











