Isu stoking diajukan atas dasar perniagaan serta keperluan pelanggan - Utusan Malaysia

Isu stoking diajukan atas dasar perniagaan serta keperluan pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Okt. – Isu penentuan warna stoking mulai tular dan disalah erti oleh pelbagai pihak kononnya para wartawan lebih gemar mengangkat perkara yang remeh-temeh.

Ramai yang tidak tahu sewaktu sidang media diadakan, selain perlu bertanya tentang acara yang sedang berlangsung, wartawan juga mempunyai akses untuk bertanya soalan susulan tentang isu-isu semasa yang berlaku.

Sehubungan itu, dalam satu sidang media yang diadakan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) semalam, pihak wartawan mewakili suara pihak luar meminta Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik memberikan penjelasan sama ada perlukah warna stoking turut ditukar daripada warna putih kepada warna hitam selaras dengan penguatkuasaan pemakaian kasut hitam kelak atau tidak.

Bagi yang terlepas isu semasa, kenyataan itu sebenarnya telah disuarakan oleh Naib Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera, Datuk Ameer Ali Mydin dan sewaktu dihubungi Utusan Online, beliau menjelaskan bahawa persoalan itu diajukan atas dasar perniagaan serta keperluan pelanggan.

“Sebagai orang berniaga, tentulah saya mahu tahu tentang apa lagi pakaian atau aksesori persekolahan yang akan ditukar atau dikekalkan kerana ia melibatkan pembelian serta penyimpanan stok.

“Jika sebelum ini kementerian sudah memaklumkan pemakaian kasut hitam akan mula diwajibkan bermula tahun 2021, kami akan bersiap sedia dengan perkara itu dan sekarang kami cuma mahu tahu selain daripada kasut, adakah akan ada perkara-perkara lain yang akan turut ditukar misalnya seperti warna baju, seluar dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, hari ini.

Dalam pada itu, Ameer menjelaskan, persoalan itu turut mempunyai kaitan besar dengan keperluan pelanggan.

“Bayangkan jika tiba-tiba kementerian memaklumkan warna stokin juga wajib ditukar dalam masa terdekat, itu mungkin boleh menimbulkan masalah daripada simpanan stok dan ibu bapa mungkin sukar untuk mendapatkannya.

“Namun jika tiada sebarang perubahan pun tidak mengapa. Yang penting, sebarang makluman itu disampaikan dengan lebih awal serta lebih jelas,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN