LEICESTER, England 29 Okt. – Isteri dan anak pemilik Leicester City, Vichai Srivaddhanaprabha meletakkan jambangan bunga ketika melawat memorial sementara di luar Stadium King Power, hari ini.
Beratus-ratus jambangan bunga, skarf serta jersi ditinggalkan oleh peminat berhampiran lokasi kejadian di mana helikopter yang membawa Vichai terhempas dan mengorbankan lima nyawa.
Aiyawatt Srivaddhanaprabha yang juga naib pengerusi juara Liga Perdana Inggeris 2016 itu tiba bersama ibunya, Aimon.
Vichai, 61, bersama empat individu lain disahkan terkorban selepas helikopter yang membawa mereka sejurus tamat perlawanan Liga Perdana antara Leicester dan West Ham, Sabtu lalu hilang kawalan sebelum terhempas di tempat letak kereta stadium.
Sementara itu, penjaga gol Leicester, Kasper Schmeichel dan rakan-rakan sepasukannya memberi penghormatan penuh emosi kepada Vichai Srivaddhanaprabha dalam media sosial.
Schmeichel, 31, antara tonggak yang membantu Foxes melakar sejarah muncul juara Liga Perdana, dua tahun lalu menulis dalam Twitter ‘benar-benar hancur dan patah hati’.
“Anda mengubah bola sepak, selamanya!. Anda memberi harapan kepada semua orang bahawa tiada perkara yang mustahil. Bukan sahaja kepada peminat kami tetapi peminat di seluruh dunia dalam mana-mana sukan! .
“Ketika kamu menandatangani saya pada 2011, kamu beritahu saya kita akan berada di Liga Juara-Juara dalam tempoh enam tahun. Kita melakukan perkara itu hebat bersama.
“Tanpa kamu dan keluarga kamu, semua ini, semua yang kita lakukan bersama, semua yang kami tidak pernah terfikir akan berlaku, menjadi kenyataan,” tulisnya.
Sementara itu, Leicester menyifatkan insiden itu sebagai ‘detik paling hitam buat kelab’.
“Dunia kehilangan seorang yang hebat. Lelaki budiman, pemurah dan kehidupannya berlandaskan kasih sayang keluarga,” tulis Leicester. – AGENSI










