PORT DICKSON – Kesemua kelima-lima calon bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson hari ini hilang deposit.
Daripada kesemua calon tersebut, mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad memperoleh jumlah undi tertinggi iaitu sebanyak 4,230 undi.
Calon bebas, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pula mendapat undi terendah dengan hanya 82 undi.
Calon hilang deposit apabila memperoleh undi kurang daripada satu per lapan daripada keseluruhan jumlah undi.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, beliau secara peribadi berpuas hati dengan perjalanan kempen PRK Port Dickson selama 14 hari.
Jelasnya, meskipun jumlah peratusan keluar mengundi agak tersasar daripada jangkaan awal SPR sebanyak 70 peratus, ia masih lebih banyak berbanding tiga PRK sebelum ini iaitu PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.
“Saya rasa kemuncak kehendak mengundi telah dicapai pada 9 Mei lalu.
“Kita tidak boleh agak (trend penurunan keluar mengundi), namun sekiranya tarikh PRK yang bakal berlaku selepas ini agak dekat dengan 9 Mei mungkin trend ini akan berterusan,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Azhar menjelaskan pihaknya akan mengkaji semula peraturan pilihan raya yang dilihat agak longgar dan tertakluk kepada interpretasi. – K! ONLINE











