Inisiatif rendah karbon diperluas - Utusan Malaysia

Inisiatif rendah karbon diperluas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 29 Okt. – Kerajaan negeri berhasrat untuk memperluaskan inisiatif rendah karbon dalam pelan tindakan yang diperkenalkan Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) ke seluruh negeri dijangka bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin berkata, inisiatif rendah karbon itu bukan lagi satu trend tetapi ia patut menjadi satu gaya hidup yang lebih berkualiti.

Katanya, buat masa ini pe­lan tindakan tersebut ha­nya melibatkan lima pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dan Majlis Daerah Pontian (MDP).

“Kerajaan negeri memuji usaha dilakukan IRDA menerusi pelan tindakan inisiatif hijau di lima PBT dalam kawasan Wilayah Iskandar. Jadi, sekarang kita merancang untuk memperluaskan lagi inisia­tif ini di PBT lain.

“Kita berharap agar IRDA dapat membantu kita agar pelaksanaan inisiatif ini boleh diguna pakai dan disesuaikan di daerah lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Sistem Pemantauan dan Laporan Penggunaan Tenaga Bangunan (BEMRS) dan Anugerah Inisiatif Hijau Iskandar Malaysia (GAIA) Kali Ketiga 2018-2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim.

Hong Pin berkata, pihaknya telah mengarahkan Majlis Perbandaran Muar (MPM), Majlis Perbandaran Kluang (MPK) dan Majlis Daerah Mersing (MDM) memulakan rancangan tempatan daerah yang baharu pada tahun depan untuk meng­aplikasikan inisiatif hijau itu.

“Tiga daerah ini mesti memulakan inisiatif rendah karbon supaya sejajar dengan sasaran rendah karbon dan inisiatif hijau yang akan diguna pakai kemudian. Kita tidak mahu apabila kerajaan melaksanakan apa-apa garis panduan rendah karbon, mereka terpaksa pinda semula rancangan tempatan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, pelaksanaan inisiatif hijau tidak terbatas kepada Iskandar Malaysia semata-mata dan boleh diguna pakai di PBT yang lain.

“Kita menyambut baik saranan Exco dalam menggerakkan inisiatif ini di luar kawasan wilayah Iskandar Malaysia dalam memberi manfaat ke daerah yang lain. Malah, jika perkara ini boleh memberi manfaat kepada negara, kerajaan negeri boleh mengusulkan pendekatan ini untuk diguna pakai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN