BALI 12 Okt. – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menggesa Amerika Syarikat (AS) dan China meredakan konflik perdagangan melalui penetapan peraturan perdagangan global dan bukan dengan tidak menghiraukannya.
Pengarah Urusan IMF, Christine Lagarde memberi amaran kepada negara terlibat terhadap perang dagangan dan mata wang yang akan menjejaskan pertumbuhan global dan membahayakan pihak yang tidak bersalah.
Katanya, tarif dagangan baharu yang dikenakan oleh AS dan China mencemaskan pasaran kewangan kerana pelabur bimbang bahawa konflik perdagangan yang semakin meningkat boleh menjejaskan perdagangan dan pelaburan global.
“IMF amat berharap supaya kita tidak menuju sama ada ke arah perang dagangan atau perang mata wang. Ia akan menjejaskan akaun kedua-dua negara dan semua yang terlibat.
“Selain itu, ia juga akan melibatkan ramai innocent bystanders termasuk negara-negara yang merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan China,” katanya dalam sidang akhbar sempena Mesyuarat Tahunan 2018 IMF dan Kumpulan Bank Dunia di Bali, Indonesia hari ini.
Pasaran saham di Asia menjunam ke paras terendah dalam tempoh 19 bulan semalam selepas kerugian paling teruk di Wall Street dalam tempoh lapan bulan sebahagiannya disebabkan oleh ketegangan perdagangan global di samping nilai dolar AS yang meningkat.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pegawai-pegawai Perbendaharaan AS telah menyatakan kebimbangan mengenai mata wang yuan yang lemah sewaktu jabatan itu menyediakan laporan separuh tahun mengenai manipulasi mata wang.
Presiden AS, Donald Trump menuduh China sengaja memanipulasi mata wang untuk mendapatkan keuntungan daripada perdagangan.
Mengulas tentang itu, Lagarde berkata, kelemahan yuan didorong oleh kekuatan dolar AS kerana Rizab Persekutuan AS meningkatkan kadar faedah.
“Kami menyokong langkah China ke arah fleksibiliti mata wang dan kita mahu menggalakkan pihak berkuasa untuk terus ke arah ini pada masa hadapan,” katanya. – REUTERS










