KUALA LUMPUR – Polis hari ini merekodkan keterangan aktivis sosial, Hishamuddin Rais berkaitan sebuah artikel yang dimuat naik di blognya pada 18 September lalu.
Ia susulan satu laporan polis yang dibuat oleh pekerja kepada salah seorang individu yang disebut dalam artikel berkenaan baru-baru ini.
Hishamuddin berkata, beliau dipanggil untuk memberikan keterangan pada pukul 2.30 petang.
“Saya hanya menjawab soalan berkaitan peribadi dan artikel tersebut sahaja.
“Perkara berkaitan siasatan kes tersebut hanya akan dijawab di dalam mahkamah,” katanya ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini selepas selesai memberikan keterangan kira-kira 40 minit kemudian.
Beliau menambah, ketika proses memberikan keterangan, dia menjawab soalan tentang artikel.
“Saya dipanggil memberi keterangan untuk siasatan kes di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah.
“Saya bersedia untuk memberikan kerjasama kepada polis berkaitan siasatan kes ini,” ujarnya yang turut ditemani peguamnya, Zaid Malek.
Artikel yang dimuat naik dalam blog tukartiub.blogspot.com miliknya itu menggesa Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, Jemaah Kabinet Menteri dan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin bagi menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja menyiasat Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Siasatan yang hendak dilakukan adalah tentang penyelewengan dan salah guna kuasa ketika menjadi Pengerusi Tabung Haji. – K! ONLINE










