“No comment. Kalau saya komen seperti mengungkit kembali.”
Itu kenyataan ringkas yang diberikan oleh Luna Maya, 35, saat diajukan soalan tentang isu penyebaran semula rakaman video seks tersebut.
Malah ketika ditanya adakah dia tertekan apabila kisah lama itu kembali menjadi bualan hangat warganet di Indonesia, Luna hanya tersenyum dan menggeleng kepala tanda enggan merungkai lanjut.
Namun anak kelahiran Bali ini tidak mengelak apabila diajak bercerita tentang kehidupannya kini yang kembali solo selepas putus cinta dengan seorang ahli perniagaan beberapa bulan lalu.
Menurut model yang pernah membintangi iklan sabun Lux itu, hidupnya kini gembira dan bahagia meskipun tanpa teman lelaki di sisi.
Kebahagiaan itu dikecapi bersama-sama teman rapat yang sentiasa menemani hidupnya.
Bukan itu sahaja, Luna juga menjadikan jadual kerja yang padat sebagai salah satu cara untuk meneruskan hidup tanpa memikirkan kisah cinta yang tidak kesampaian itu.
“Semuanya okey. Saya masih bernafas dan hidup perlu diteruskan sebaik-baiknya. Adakalanya kita tidak selalu dapat yang kita mahu.
“Kita juga tidak boleh jangka apa yang bakal berlaku pada masa hadapan. Jadi saya hanya cuba buat yang terbaik untuk hari ini dan hari mendatang.
“Sudah pastinya saya mempunyai banyak teman baik yang selalu ada menemani waktu lapang saya. Selain itu, saya juga sibukkan diri dengan bekerja dan melancong.
“Justeru, saya tidak pernah rasa hidup saya sunyi. Selagi saya diberikan rezeki untuk bernafas, saya sentiasa syukuri setiap yang berlaku hari ini dan mahu melakukan yang terbaik untuk mendapat kehidupan yang lebih baik pada hari esok,” ujarnya ketika ditemui Mega HITS selepas tayangan filem Sabrina baru-baru ini.
Selain Luna, Sara Wijayanto dan Christian Sugiono turut bergandingan dalam filem seram yang telah mendapat sambutan hangat di republik tersebut.
Berkongsi pengalaman beraksi dalam filem Sabrina, Luna mengakui babak ditanam di dalam pasir adalah babak yang sangat mencabar dan menakutkan.
Jelasnya, ketika membaca skrip, dia menyangka pelakon ganti yang akan melakukan babak tersebut. Namun sangkaannya meleset apabila pengarah, Rocky Soraya meminta dia memasuki lubang pasir tersebut.
“Sebenarnya saya tidak bersedia untuk babak itu kerana saya sangka pelakon ganti yang akan melakukannya. Ketika penggambaran, pengarah mahu saya melakukannya kerana dia mahu merakam wajah saya ditimbusi pasir.
“Babak tersebut dibuat sebanyak tiga kali dan saya perlu menahan nafas selama 15 saat untuk setiap rakaman. Sejujurnya, rakaman babak itu membuatkan saya sangat penat,” ulasnya.
Walaupun berdepan cabaran besar dalam menjayakan lakonannya, itu tidak pernah melunturkan semangat Luna untuk terus bergelar anak seni.
Sebaliknya bagi pelakon yang mula berlakon dalam filem 30 Hari Mencari Cinta ini, dia menyukai setiap watak yang diberikan kerana kecintaannya terhadap seni lakon.
“Berlakon filem seram sememangnya memberi banyak tekanan terutama ketika menjayakan filem seram baharu saya iaitu Suzzanna. Tetapi pada masa sama, saya seronok melakonkan genre tersebut.
“Sebenarnya saya seronok menjayakan semua watak yang diberikan kepada saya sepanjang bergelar pelakon.
“Bagi saya, selagi itu adalah pekerjaan berkaitan filem, apa pun genrenya saya akan menikmati keseronokan itu.
“Sebagai pelakon, apabila saya menerima apa sahaja watak yang ditawarkan, saya perlu menyukainya,” jelasnya.
Milik eksklusif
Kini filem seram mendapat tempat di hati penonton layar perak Indonesia. Buktinya, bukan sahaja filem Indonesia yang menerima sambutan memberansangkan, malah filem Malaysia, Munafik 2 turut merasai kehangatan tersebut.
Dengan pengalaman beraksi dalam lima buah filem seram di sana, Luna ditanya adakah dia turut menerima tawaran daripada produksi filem Malaysia untuk menjayakan genre tersebut.
Menurut Luna, sekiranya mendapat tawaran untuk filem seram, dia terpaksa menolak. Bukan kerana memilih produksi sebaliknya
Luna menjelaskan, dia kini hak milik eksklusif Soraya Intercine Flims untuk filem genre berkenaan.
“Saya mengikat kontrak dengan produksi tersebut selama dua tahun dan sepanjang tempoh itu, saya tidak boleh berlakon filem seram dengan produksi lain.
“Oleh sebab kontrak itu, banyak tawaran yang terpaksa saya tolak. Sekarang ini di Indonesia, filem seram mendapat sambutan, jadi banyak syarikat produksi menawarkan filem genre ini.
“Kalau genre lain, tiada masalah. Contohnya tidak lama lagi saya akan terlibat dalam sebuah filem terbitan produksi Malaysia,” ujar Luna yang bakal menghabiskan cuti hujung tahun di kampung keluarganya di Austria.










