Hentikan penipuan hutang RM1 trilion - Utusan Malaysia

Hentikan penipuan hutang RM1 trilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 17 Okt. – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didesak menyelesaikan masalah kekurangan pendapatan negara akibat retorik ‘janji manifesto’ sendiri daripada terus menipu rakyat dengan naratif politik yang mendakwa hutang negara mencecah RM1trilion.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Suraya Yaacob berkata, negara sebenarnya mempunyai kemampuan untuk memenuhi tuntutan hutang dengan kos menyelenggara hutang negara hanyalah berjumlah RM30.88 bilion.

“Kos itu hanya 11 peratus daripada jumlah keseluruhan bajet 2018 dengan unjuran pendapatan negara berjumlah RM239.86 billion.

“Oleh itu, kerajaan PH patut sedar bahawa mangsa sebenar bagi permainan ekonomi mereka adalah rakyat Malaysia dan ia hanya akan menjejaskan ekonomi negara yang mengakibatkan tekanan dan meningkatkan bebanan kos sara hidup khususnya kelompok B40,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, masalah kewangan negara bermula apabila pihak kerajaan PH mengumumkan kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada kosong peratus pada Jun lalu.

“Sejak itu, pelbagai masalah timbul seperti pemansuhan RELA, elaun anggota APM tertangguh, cadangan menghapuskan BR1M serta elaun sara hidup nelayan, kekurangan dana TVET termasuk peruntukan Kementerian Luar yang tidak mencukupi.

“Keadaan ini mencemar imej Malaysia sebagai sebuah negara yang lemah dan gagal mengawal ekonomi dengan berkesan selain tidak mampu menampung kos operasi kedutaan di luar negara sehingga ada yang disaman,” jelasnya.

Justeru tegasnya, kerajaan perlu berhenti daripada mengungkap pembohongan demi pembohongan hanya untuk menutup kesilapan menipu rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

“Cukuplah rakyat Malaysia ditipu manifesto Pakatan Harapan, usah kami dimomokkan dengan kepalsuan yang tiada kesudahan selama sepenggal ini. Berkhidmatlah sejujurnya demi agama, bangsa dan negara,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN