Henti langgan Utusan Malaysia bertentangan kebebasan media - Utusan Malaysia

Henti langgan Utusan Malaysia bertentangan kebebasan media

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Keputusan Kementerian Pendidikan mengekalkan pembatalan langganan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia di semua agensi, sekolah, universiti, kolej dan institusi di bawahnya adalah bertentangan dengan polisi kebebasan yang kononnya dilaungkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Perkara itu dibangkitkan oleh Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) ketika membahasakan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Shamsul Anuar menyifatkan keputusan kementerian itu sebagai dwistandard dan menunjukkan tiada kebebasan seperti diuar-uarkan.

“Bercakap kononnya mahu kebebasan, itu polisi tidak tunjuk kebebasan. Kalau mahu bebas, bebaslah, kalau mahu berikan hak rakyat bersuara, berilah, apa mahu sekat Utusan Malaysia?

“Mahu sekat akhbar buat apa? Sekat akhbar daripada masuk sekolah, pelajar boleh baca juga di internet. Laksanakanlah, tunjukkanlah kalau mahu guna kebebasan berfikir, apa sekat Utusan Malaysia sahaja,” kata beliau.

Terdahulu, pada sesi soal jawab dalam sidang Dewan Rakyat pagi ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menegaskan pendirian kerajaan untuk mengekalkan keputusan pembatalan langganan akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia bagi semua agensi, sekolah, universiti, kolej dan institusi di bawah Kementerian Pendidikan.

Alasan diberikan Nie Ching ialah kerana berita daripada akhbar tersebut boleh diakses secara dalam talian dan diperolehi menerusi pelbagai media sosial.

Beliau juga memberitahu, secara umum, hasrat kementeriannya adalah untuk melanggan akhbar-akhbar yang menguar-uarkan nilai murni, memupuk perpaduan dan bukan sebaliknya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN