KUALA LUMPUR – Isteri penyanyi terkenal Allahyarham Saleem, Juriah Bachok berkata, suaminya ada meluahkan hasrat untuk mengadakan konsert jelajah sehingga ke Indonesia sebelum dijemput Ilahi.
“Allahyarham ada berbincang dengan saya dan mengajak menantunya, Norliza Khairuddin mengenai perkara tersebut (konsert jelajah di Indonesia) sewaktu dia masih sihat.
“Dalam keadaan sakit pun, Allahyarham sempat bercakap dengan menantunya itu. Katanya, peminat di Indonesia sering bertanyakan kepadanya bila dia akan membuat persembahan di sana kerana peminatnya di Indonesia amat rindukan persembahannya,” kongsi Juriah ketika ditemui Kosmo! usai pengebumian suaminya itu.
Dalam pada itu, Juriah turut bercerita tentang hasrat vokalis kumpulan Iklim itu yang ingin menjejakkan kaki di kediamannya di Bandar Mahkota Cheras walaupun status kesihatannya pada tahap membimbangkan selepas tragedi kemalangan.
“Saya reda dengan pemergiannya dan semua ini adalah ketentuan takdir. Dia sempat menjejakkan kaki ke rumah walaupun saya tegah kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan.
“Katanya, sebelum apa-apa berlaku, dia ingin berada di rumah dan hasrat itu sudah dipenuhi. Saya berharap semua orang bercakap perkara yang baik-baik dan mendoakan agar rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” kata Juriah.
Tambahnya lagi, Allahyarham selalu berpesan kepadanya supaya menjaga anak bongsunya, Muhammad Amirul Mukminin, 15.
“Lebih kurang seminggu menghabiskan masa di rumah, dia selalu berpesan agar menjaga anak kami, Muhammad Amirul dengan baik. Insya-Allah, saya akan pegang pesannya itu baik-baik dan mengotakannya,” ujarnya.
Amirul ketika ditemui berkata, Allahyarham bapanya itu sering berpesan supaya menjaga solat dan menjauhi rokok.
“Saya menghabiskan banyak masa ketika dia sakit. Papah dia ke tandas, bergurau dan bersembang dengannya.
“Allahyarham jenis orang yang suka bergurau namun cara gurau dia biasa-biasa sahaja berbanding saya. Saya gurau lebih agresif. Dia yang banyak menggalakkan saya bermain muzik iaitu dram sepanjang hayatnya,” kongsi Amirul.
Terdahulu, suasana hiba mengiringi pengebumian penyanyi terkenal Saleem atau nama sebenarnya, A. M. Salim Abdul Majeed di Tanah Perkuburan Islam Cheras Perdana kira-kira pukul 2 petang tadi.
Saleem menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 6.15 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) disebabkan komplikasi kemalangan yang dialaminya sejak 21 September lalu.
Saleem sebelum ini cedera parah dalam satu kemalangan pada 21 September lalu di Bandar Mahkota Cheras apabila motosikal ditunggangnya dikatakan melanggar kereta ketika keluar dari rumah untuk ke kedai berdekatan.
Kemalangan tersebut menyebabkan 12 tulang rusuk patah manakala salah satunya tertusuk paru-paru.
Allahyarham kemudian dimasukkan ke hospital Kajang dalam keadaan koma sebelum dipindahkan ke PPUKM untuk rawatan lanjut. – K! ONLINE











