JOHOR BAHRU 15 Okt. – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menziarahi Makam Diraja Bukit Mahmoodiah di sini sempena Hari Hol pada pukul 8.55 pagi ini.
Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Panglima, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar serta Tunku Aris Bendahara Johor, Tunku Abdul Majid Iskandar
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Sultan Ibrahim kemudian berkenan menyiram air mawar dan menabur bunga pada makam ayahanda dan bonda baginda, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dan Almarhumah Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah.
Baginda turut menziarah pusara Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil yang mangkat pada 5 Disember 2015 akibat kanser hati pada usia 25 tahun. – UTUSAN ONLINE










