AUSTIN 19 Okt. – Juara dunia, Lewis Hamilton menegaskan, bahawa dia 100 peratus yakin seorang lagi Schumacher akan beraksi di dalam Formula 1 (F1), setelah pemandu Mercedes itu menyokong Mick Schumacher mengikut jejak langkah bapanya yang merupakan legenda F1, Michael.
“Pertama sekali, terima kasih kepada namanya, tetapi dalam masa sama dia telah melaksanakan tugas dengan cemerlang. Jika saya mempunyai anak yang mahu berlumba, saya yakin dia akan dapat bersaing dalam F1, terima kasih kepada nama yang dibawanya walaupun tidak mencapai tahap yang diperlukan.
“Namun, dia (Mick) telah bekerja keras dan seorang budak yang baik. Dia telah menghabiskan masa hujung minggunya bersama pasukan, tahun lalu kalau tidak silap saya, dia telah memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlumbaan.
“Dia memiliki bakat seperti bapanya, jadi saya tidak fikir nama yang dibawanya akan menjadi beban, dan perkembangan tersebut amat bagus untuk sukan ini,” kata Hamilton mengenai Schumacher, 19, yang merangkul gelaran Formula 3 Eropah, hujung minggu lalu.
Hamilton berkata demikian menjelang Grand Prix Amerika Syarikat, hujung minggu ini, yang bakal menyaksikannya muncul sebagai pemandu ketiga memenangi gelaran dunia F1 sebanyak lima kali sekiranya berjaya berbuat demikian. – AFP










