Hairul bersyukur Paskal kaut RM8 juta - Utusan Malaysia

Hairul bersyukur Paskal kaut RM8 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Teraju utama filem Paskal The Movie, Hairul Azreen menyifatkan kejayaan filem berkenaan yang sudah mengaut RM8 juta selepas lima hari tayangan sebagai perkara terbesar berlaku dalam kerjayanya.

Hairul atau nama sebenarnya, Hairul Azreen Idris berkata, dia tidak menjangka filem Paskal mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja daripada penonton Melayu, malah daripada kaum lain seperti Cina dan India.

“Paling seronok apabila masyarakat berbilang kaum menonton filem ini di pawagam. Melayu, Cina dan India memberikan sokongan yang amat menakjubkan untuk filem ini.

“Kejayaan yang dikecapi merupakan keajaiban buat saya sebagai pelakon. Lama saya menanti filem yang boleh mengangkat nama sebagai pelakon aksi, akhirnya Paskal sedikit sebanyak membuka mata orang ramai terhadap keseriusan saya dalam bidang lakonan,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambahnya lagi, dia bersyukur dengan kejayaan yang diraih dan bangga sebagai salah seorang pelakon utama.

“Saya sudah tengok Paskal enam kali. Alhamdulillah, semua ini rezeki daripada Allah. Semoga ini menjadi batu loncatan untuk saya mara lebih jauh sebagai pelakon,” ujarnya.

Hairul berkata demikian ketika majlis menonton filem Paskal bersama lebih 40 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Raudhatul Jannah di MMcineplexes di sini bersama barisan pelakon lain seperti Ammar Alfian, Taufiq Hanafi dan Gambit Saifullah.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ignatius Dorell Leiking.

Mula ditayangkan pada 27 September lepas, Paskal The Movie mengangkat kisah perjuangan anggota elit, Pasukan Khas Laut (Paskal), Tentera Laut Diraja Malaysia. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN