KUALA LUMPUR – Pengerusi Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad atau MACP, Habsah Hassan mengumumkan peletakan jawatannya selepas 18 tahun menerajui badan perlesenan tersebut berkuat kuasa 1 Oktober 2018.
Peletakan jawatan tersebut dilakukan tokoh terkenal industri muzik tempatan itu sebagai satu tindakan yang tepat selepas tidak lagi diberi sokongan dan kepercayaan oleh kebanyakan lembaga pengarah MACP .
“Saya mengumumkan meletak jawatan sebagai Pengerusi MACP berkuat kuasa hari ini kerana tidak lagi mendapat sokongan dan kepercayaan penuh daripada kebanyakan lembaga pengarah MACP,” ujar penulis lirik tersohor negara itu kepada Kosmo! Online dan Utusan hari ini.
Habsah, 69, turut mengaku telah didesak melepaskan jawatannya sejak tahun lalu.
Desakan itu terjadi ekoran kegagalan MACP mengutip royalti yang lumayan seperti tahun-tahun sebelumnya.
“Kepada semua ahli MACP, saya mengambil tanggungjawab untuk berundur. Saya memohon maaf atas kegagalan mengagihkan royalti yang lumayan seperti tahun-tahun sebelum ini,” katanya lagi.
MACP yang ditubuhkan sejak 1989 pernah mengutip royalti tahunan mencecah RM50 juta setahun.
Bagaimanapun, pada 1 Januari 2017, kerajaan telah mengarahkan sebuah badan baharu iaitu Music Rights Malaysia (MRM) mengambil alih pungutan royalti bagi pihak badan-badan perlesenan seperti MACP, Pengutip Royalti Persembahan Dan Hak Artis (Prism) dan Recording Performance Malaysia Berhad (RPM) serta Public Performance
Malaysia (PPM).
Berikutan penstrukturan semula pengagihan sistem kutipan royalti oleh kerajaan, pendapatan royalti MACP dan tiga badan lain terjejas.
Berbanding tahun-tahun sebelum ini, kutipan yang diperoleh MACP merudum sebanyak 53 peratus.
“Kesan dari penurunan pungutan tersebut menyebabkan pengagihan royalti kepada ahli-ahli MACP turut terjejas dengan teruk sekali,” katanya lagi.
Sehingga Oktober 2018, MACP dianggotai oleh 4,000 orang ahli. – K! ONLINE











