Habsah Hassan lepaskan jawatan Pengerusi MACP hari ini - Utusan Malaysia

Habsah Hassan lepaskan jawatan Pengerusi MACP hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Okt. – Tokoh industri muzik tersohor, Habsah Hassan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) berkuat kuasa hari ini.

HABSAH HASSAN

Menurut Habsah, 69, keputusan melepaskan jawatan yang disandang selama 18 tahun itu dibuat selepas tidak mendapat kepercayaan dan sokongan daripada kebanyakan ahli lembaga pengarah MACP.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi MACP hari ini selepas tidak mendapat sokongan dan kepercayaan daripada kebanyakan Ahli Lembaga Pengarah MACP,” katanya secara eksklusif kepada Utusan Online sebentar tadi.

Karyawan muzik yang sudah 45 tahun aktif dalam industri muzik juga mengakui, pernah didesak dan disindir untuk melepaskan jawatan berkenaan oleh segelintir pihak.

“Hari ini saya ambil keputusan lepaskan jawatan Pengerusi MACP bagi membuka peluang kepada golongan muda yang sangat agresif dan pandai,” tegas beliau lagi.

MACP merupakan sebuah badan pelesenan yang mewakili komposer, penulis lirik dan penerbit dari dalam dan luar negara.

Sepanjang diasaskan bermula 1989, MACP berjaya mengutip royalti pelaku muzik sehingga mencecah angka RM50 juta setahun untuk diagihkan kepada ahli-ahlinya.

Bagaimanapun, pada 1 Januari 2017, kerajaan telah mengarahkan sebuah badan baharu iaitu Music Rights Malaysia (MRM) untuk mengambil alih pungutan royalti bagi pihak badan-badan pelesenan termasuk MACP, Pengutip Royalti, Persembahan dan Hak Artis ( Prism), Public Performance Malaysia (PPM) serta Recording Performers Malaysia (RPM).

Berikutan penstrukturan semula pengagihan sistem kutipan royalti oleh kerajaan, pendapatan royalti MACP dan tiga badan lain terjejas teruk.

Berbanding tahun-tahun sebelum ini, kutipan royalti yang diperoleh jauh lebih rendah atau jatuh sebanyak 53 peratus.

Menurut Habsah, semenjak MRM ditubuhkan, sering terdapat perbezaan pendapat dan pendekatan di antara Ahli Lembaga Pengarah MACP.

“Kesan daripada penurunan pungutan tersebut menyebabkan pengagihan royalti kepada ahli-ahli MACP turut terjejas dengan teruk sekali,” jelas Habsah.

Pada masa sama, beliau yang juga seorang penulis lirik disegani menegaskan kesediannya memikul sepenuhnya tanggungjawab kerana gagal membantu mendapatkan kutipan royalti yang lumayan buat ahli-ahli MACP yang terdiri daripada 4,000 orang.

“Kepada ahli-ahli MACP, saya memohon maaf atas kegagalan mengagihkan royalti tidak selumayan tahun-tahun sebelum ini,” kata Habsah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini