Graduan KUIPs diterima lanjut pengajian di Turki, bukti diiktiraf di peringkat antarabangsa - Utusan Malaysia

Graduan KUIPs diterima lanjut pengajian di Turki, bukti diiktiraf di peringkat antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL, Turki 4 Okt. – Seorang pelajar Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang diterima melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana di sebuah universiti di pusat bandar ini membuktikan universiti yang berkonsepkan wakaf di Perlis itu, diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Fatimah Mohd. Yunos, 26, berkata, beliau yang berkelulusan Sarjana Muda Perbankan Islam dan memperoleh keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.98 itu, kini melanjutkan pengajian di Universiti Fatih Sulaiman Mehmet Vakif dalam jurusan Sarjana Sejarah Islam.

Katanya, beliau memohon memasuki universiti itu kerana ingin meneroka ‘pembaharuan’ dan mencari kelainan disebabkan tidak ramai rakyat Malaysia khususnya Perlis melanjutkan pengajian di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebelum ini, saya ada ditawarkan pekerjaan dengan sebuah bank tempatan tetapi akhirnya mengambil keputusan untuk teruskan pengajian.

“Saya memohon kemasukan ke universiti ini menerusi dalam talian sebaik sahaja tamat pengajian pada Mei dan syukurlah, tiga bulan selepas itu telah diterima masuk (belajar),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Tautan Kasih Bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di pusat kegiatan pelajar Malaysiandi sini, baru-baru ini.

Seramai 80 orang daripada 300 orang pelajar keseluruhan yang menuntut di pusat bandar ini diraikan dalam satu majlis makan malam.

Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs kepada Persatuan Pelajar Malaysia di Turki sebanyak RM10,000 dan kepada empat orang pelajar berasal dari Perlis.

Ditanya tentang perancangan masa hadapannya, Fatimah memberitahu, beliau hanya ingin menumpukan pengajiannya sehingga tamat yang dijangka mengambil masa selama tiga tahun.

Dalam pada itu, beliau yang merupakan satu-satunya pelajar Malaysia yang mengambil jurusan berkenaan mengucapkan terima kasih kepada pihak KUIPs kerana telah menggalakkannya melanjutkan pengajian di Turki. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini