ISTANBUL 2 Okt. – Lebih ramai golongan ilmuan dan ahli akademik di seluruh dunia diharap dapat tampil memberi pemahaman sebenar tentang ajaran Nabi Muhammad SAW yang begitu menitikberatkan kesejahteraan, kemakmuran dan keharmonian sejagat.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Rasulullah merupakan perintis terbaik ke arah perkara itu, dengan semua ajaran baginda berdasarkan kepada elemen belas kasihan dan kelembutan.
Titah baginda, prinsip ajaran Nabi Muhammad SAW adalah jauh daripada kekerasan dan pertumpahan darah yang sering kali didakwa oleh mereka yang kurang berpengetahuan.
“Hatta keharmonian dan kesejahteraan alam sekitar serta haiwan turut menjadi fokus dan sunnah baginda (Nabi Muhammad SAW). Perkara ini mestilah disebarluaskan di seluruh dunia untuk kita bersama-sama mencapai keharmonian.
“Sesungguhnya kita penuh yakin dan percaya bahawa ajaran Nabi Muhammad SAW tidak pernah bercanggah dengan kehidupan masa kini tetapi sebaliknya adalah untuk mengimbanginya,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Seminar Warisan Nabawi (Swan) Peringkat Antarabangsa anjuran Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di International University for Renewal (IUR) di sini, hari ini.
Turut hadir Rektor IUR, Prof. Dr. Jamal Abd. Al-Sattar; Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad; Dekan Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah, USIM, Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff dan Dekan Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah IUR, Prof. Dr. Ismail Ali.
Seminar itu merupakan kali kedua dianjurkan di luar negara. Sebelum ini, seminar sama pernah diadakan di Universiti Fatoni, Thailand, pada 2016.
Sebanyak 81 kertas kajian melibatkan pembentang daripada 12 buah negara terlibat dalam seminar pada kali ini yang membincangkan tajuk Keamanan dan Keharmonian Sejagat Daripada Persepektif Sunnah.
Tuanku Syed Faizuddin seterusnya menitahkan supaya kajian dan analisis sunnah Nabi Muhammad SAW dapat diperhebatkan lagi supaya ajaran-ajaran baginda itu boleh disebarkan demi kesejahteraan umat manusia secara keseluruhannya.
“Objektif utama dalam persidangan atau forum akademik adalah untuk memberikan kefahaman dalam topik yang dibincangkan.
“Jika ini dapat dilakukan, maka beta percaya objektif seminar ini iaitu untuk memberi kefahaman dan persepsi baik terhadap Rasulullah akan mencapai kejayaan,” titah baginda lagi.
Titah baginda, perkara itu penting terutamanya dalam era globalisasi masa kini yang banyak berlaku tanggapan yang salah terhadap Islam.
Baginda turut berharap agar seminar berkenaan akan diteruskan dan berkembang dengan sokongan ahli akademik dan golongan terpelajar dengan disokong oleh kerajaan. – UTUSAN ONLINE










