KOTA PALU – Suasana malam di sebahagian Kota Palu memperlihatkan kesukaran hidup yang dihadapi penghuninya selepas gempa berukuran 7.5 pada skala Richter dan tsunami yang melanda bandar itu Jumaat lepas.
Tinjauan Bernama mendapati ada antara kawasan yang terjejas masih tidak mendapat bekalan elektrik dan air bersih yang sempurna, terutama di kawasan perkampungan yang berada di hujung bandar iaitu di Kampung Balarua, Timur Kota Palu.
Kampung Balarua menjadi antara lokasi paling teruk menerima kesan bencana itu dengan kawasan asalnya yang landai bertukar menjadi bukit yang beralun dipenuhi mangsa yang terperangkap di bawah batu- bata.
Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, jumlah mangsa korban gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah kini meningkat kepada 1,407 orang setakat pukul 1 tengah hari semalam. – Bernama











