INGATKAN sudah tidak ada gejala ini. Masih ada lagi rupa-rupanya.
Budaya ‘ali baba’ dibangkitkan kembali oleh Menteri Kerja Raya, Baru Bian awal bulan ini dengan menerima baik cadangan kontraktor bumiputera untuk menubuhkan Unit Pemantau bagi menangani gejala itu.
Sesi dialog beliau bersama kontraktor bumiputera Sarawak di Ibu Pejabat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Sarawak itu menerima 30 kertas kerja yang mendapati ada budaya ‘ali baba’ bagi projek dan tender kerajaan di seluruh negara.
Sebagai kerajaan baharu, kata Baru, kementeriannya mengambil tindakan serius kerana ini satu punca yang akan melemahkan kontraktor Bumiputera.
Fenomena Ali Baba sangat merugikan. Polisi yang digubal terutama Dasar Ekonomi Baru pada suatu ketika adalah wajar dan munasabah. Tetapi sayang, pelaksanaan yang tidak bertanggungjawab telah menggalakkan gejala ‘ali baba’ yang sehingga hari ini merupakan barah yang sudah merebak ke akar umbi masyarakat.
Dari segi pengertian umum, ‘ali baba’ merujuk kepada satu pakatan perniagaan yang tidak seimbang dibentuk oleh dua atau lebih pihak di mana satu pihak wujud kerana kemudahan yang dinikmati akibat daripada pelaksanaan sesuatu dasar atau yang ‘dekat’ kepada pemimpin yang berkuasa untuk memberikan projek, kontrak, lesen dan sebagainya.
Pihak ini disebut sebagai ‘Ali’ kerana lazimnya di Malaysia, kaum bumiputeralah yang menikmati kemudahan tersebut. Ali, biasanya tidak mempunyai pengetahuan, kemahiran dan pengalaman dalam perniagaan, tetapi berpegang kepada pengaruh politik dan pentadbiran dan bertindak sebagai ‘rakan kongsi tidur’ (sleeping partner).
‘Baba’ sebaliknya, adalah daripada golongan rakyat keturunan Cina yang mempunyai kepakaran, pengalaman dan modal perniagaan yang menyumbang kepada produktiviti syarikat dan mengawal penuh operasi syarikat.
“Melayu punya kontrak, Cina punya kerja” adalah ungkapan lazim yang kita dengar untuk menggambarkan pakatan ini. Dalam erti kata lain, projek atau syarikat secara rasmi dimiliki oleh Ali (orang Melayu) tetapi yang menguasainya adalah Baba (orang Cina).
Terpanggil mengulas keprihatinan Menteri Kerjaya Raya itu, Presiden Persatuan Kontraktor Jentera, Mekanikal dan Elektrikal Melayu Malaysia, Datuk Azman Yusoff berkata, pihaknya menyokong penuh sekiranya kerajaan mahu memperketatkan syarat untuk membendung gejala ‘ali baba’ daripada berleluasa.
“Antaranya seperti yang disarankan oleh YB Baru bahawa syarikat yang dianugerah kontrak dan tender kerajaan akan diminta menandatangani ‘aku janji’ yang mereka akan menyiapkan kerja tanpa menyerahkan kepada pihak ketiga,” katanya.
Azman yang juga ahli jawatankuasa agung Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), gejala ‘ali baba’ hanya mengakibatkan kontraktor bumiputera menjadi tidak kompeten untuk bersaing, meskipun diberi kepercayaan oleh kerajaan untuk menyiapkan projek yang dianugerahkan kepada mereka.
“PKMM percaya Jabatan Kerja Raya (JKR) merupakan jabatan terbaik bagi melaksanakan proses tender dengan telus. Malah, PKMM berharap pembentangan Belanjawan 2019 di Parlimen pada 2 November ini turut membincangkan bahana daripada gejala ‘ali baba’ ini kepada ekonomi orang Melayu,” kata Azman lagi.
Di sebalik menularnya gejala ini, meskipun konsep ‘ali baba’ secara spesifik merujuk kepada pakatan melibatkan orang Melayu dengan rakyat keturunan Cina, pemakaian konsep ini sebenarnya lebih menyeluruh. Ini termasuklah amalan kronisme dalam memberikan kontrak dan lesen.
Pendek kata, ‘Ali’ dalam konteks ini, bukan hanya khusus kepada orang Melayu tetapi siapa saja yang memperoleh sesuatu kontrak atau lesen daripada kerajaan, bukan kerana keutamaan dari segi kebolehan, pengalaman dan sebagainya, tetapi kerana kedekatan dengan pemimpin. Tetapi akhirnya menyerahkan kepada orang lain untuk menyempurnakan kontrak tersebut.
Apa pun tafsirannya, intipati atau pengertian sebenar (substance), kronisme dan ‘ali baba’ mempunyai banyak persamaan. Bahkan, kewujudan kedua-kedua konsep ini hampir seperti pasangan yang saling melengkapi, yang kedua-duanya tidak baik, merosak dan merugikan.
“Dapat saham sahaja, terus dijual, dapat kontrak saja terus dijual”. Selama lebih 30 tahun, sejak awal 80-an, ungkapan ini sering disebut dan didengar sehingga menjadi sebati dan tidak pelik jika ada beranggapan bahawa begitulah caranya dan memilihnya untuk mencipta kekayaan dengan cepat.
Lebih membimbangkan lagi, pemikiran sebegini hari ini mungkin menjadi anutan dan pegangan anak-anak muda yang berjuang menggunakan parti politik sebagai landasan. Apalah nanti akibatnya apabila golongan mereka mula mengambil alih pentadbiran negara.
Pelaksanaan dasar yang salah oleh pemimpin yang mengamalkan rasuah (salah guna kuasa) dan kronisme sangat dikesalkan. Yang paling rugi adalah golongan usahawan Melayu yang tulen dalam menjalankan perniagaan mereka.
Maka tidak hairanlah apabila kita sering mendengar rungutan-rungutan yang menyatakan bahawa ada Melayu yang pandai berniaga dan tidak cukup modal, tetapi kerana mereka bukan daripada golongan elit Melayu atau kroni seseorang pemimpin, mereka tidak mendapat bantuan dan perniagaan mereka tidak berkembang.
Ali Baba ataupun kronisme pada asasnya adalah tidak baik. Memberikan sesuatu kontrak kepada orang yang kurang layak adalah satu kesalahan dan mengesani keberkesanan dan kecekapan. Dalam perniagaan, sikap mengambil untung atas angin atau pun aktiviti mengaut sewa (rent seeking) atau pengambilan komisen, yang dimungkinkan melalui konsep ‘ali baba’ mahupun kronisme, akan hanya meningkatkan kos sesuatu barang atau perkhidmatan yang akhirnya akan ditanggung oleh masyarakat umum.
Azman berharap Kementerian Kerja Raya dapat memantau ketat keberkesanan unit pemantau `ali baba’ berkenaan.
“Pada masa sama, PKMM yang memiliki lebih 20,000 ahli memohon kerajaan menerusi Belanjawan 2019, untuk meneruskan pemberian tender kepada kontraktor bumiputera termasuk memperbanyakkan projek-projek kecil.
“Dalam keadaan ekonomi tidak menentu sekarang, kita merayu supaya dibantu kontraktor-kontraktor kecil ini terutama melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan sekolah dan bangunan,” kata Azman.










