IPOH – Kejadian letupan dan gegaran kuat yang berlaku di beberapa kawasan di bandar raya ini bukan berpunca daripada kejadian gempa bumi.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Alui Bahari berkata, tiada sebarang isyarat atau amaran gempa diterima melalui alat pengesan gempa bumi.
Jelasnya, beliau menafikan sebarang kejadian gempa bumi yang berlaku di negeri Perak dan gegaran itu tidak mempunyai kaitan dengan gempa bumi di Indonesia.
“Letupan itu bukan satu kejadian gempa bumi atau fenomena alam. Selain itu, kita juga tidak menerima sebarang isyarat gempa bumi.
“Pejabat Jabatan Mateorologi Perak di Sitiawan juga mendapat pelbagai panggilan daripada orang awam yang bertanyakan mengenai kejadian itu namun, ia bukan gempa bumi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini sebentar tadi.
Terdahulu, satu letupan dan gegaran berlaku di sekitar bandar raya ini kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Kejadian tersebut juga tular di laman sosial seperti Facebook dan Twitter apabila ramai penduduk di sekitar Ipoh merasai dan mendengar letupan itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, tiada sebarang laporan mengenai kejadian tersebut di 25 buah balai polis di Ipoh.
Jelasnya, bagaimanapun, pihak polis masih berusaha untuk mendapatkan maklumat lain atau pengesahan daripada pihak berkaitan.
Dalam pada itu, menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) berkata, bomba juga tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu.
Ujarnya, bagaimanapun, berdasarkan laporan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, cuma terdapat aktiviti memecahkan batu di kuar di Simpang Pulai dekat sini pada masa yang sama. – K!ONLINE










