KUALA LUMPUR 8 Okt. – Penggunaan ganja bagi tujuan perubatan perlu menjalani proses yang ketat dan setara sebagaimana yang dijalani oleh ubat-ubatan lain bagi memastikan tahap keberkesanan dan keselamatan penggunaannya sebelum boleh digunakan oleh masyarakat umum.
Ahli Jawatankuasa Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr. Mohd. Fadzli Mohd. Isa berkata, setakat ini, maklumat untuk menyokong tahap keberkesanan dan keselamatan penggunaan ganja bagi tujuan rawatan didapati masih lemah.
“Penubuhan satu jawatankuasa penilaian perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan muktamad diambil untuk mengkaji penggunaan ganja sebagai sumber rawatan di Malaysia.
“Masih terdapat jurang yang besar dalam pengetahuan tentang keberkesanan ganja dari sudut penggunaanya sebagai bahan perubatan.
“Selain itu, terdapat juga kontroversi lain dalam penggunaan ganja untuk rawatan, termasuklah dari segi undangundang, etika dan implikasi sosial, kaedah penggunaan yang selamat, penyimpanan dan pendispensan, serta kesan sampingan dari sudut kesihatan dan perubatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE








