SETIU 14 Okt. – Pemenang pingat emas acara berpasukan kuda lasak Sukan SEA 2017, Mohammad Fuad Hashim menjuarai Kejohanan Kuda Lasak Antarabangsa Piala Sultan Mizan yang berlangsung mulai petang semalam di Taman Ekuestrian Antarabangsa Terengganu (TIEP) Lembah Bidong, di sini.
Penunggang dari State of Terengganu Endurance Team (STET) itu menamatkan perlumbaan sejauh 120 kilometer dengan catatan masa 6 jam 45 minit dan 07 saat membawa pulang wang tunai RM25,000, piala pusingan, piala iringan, medal, seutas jam tangan dan motosikal Yamaha Ego.
Beliau yang pernah muncul sebagai juara pada edisi 2016 meraih kemenangan berganda apabila kudanya, Mora Makaka dinobatkan kuda terbaik dan turut meraih hadiah wang tunai RM25,000 di samping pelana.
Tempat kedua dimenangi rakan sepasukannya, Mohd. Faris Haikal Mohd. Hassan Sa’ari untuk meraih RM18,000 manakala Mohd. Sulaiman Muda dari UPM Best (ketiga) menerima RM12,000 dan Mohd. Baharudin Ab. Rahman dari Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) menduduki tempat keempat.
Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Turut mengiringi, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri, Tuan Faizah Tuan Abd. Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah serta beberapa barisan Exco kerajaan negeri serta Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali.
Kejohanan edisi ke-11 yang menarik penyertaan 13 kelab dari dalam dan luar negara itu dilepaskan oleh Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada pukul 5 petang semalam.
Sultan Mizan yang menunggang kuda, Ohara Armor turut beraksi dalam perlumbaan yang mengambil masa lebih 12 jam, dan berakhir pada pukul 5.20 pagi tadi.










