ISKANDAR PUTERI 12 Okt. – Pemaju projek pembangunan bercampur Forest City, Country Garden Pacificview Sdn. Bhd. (CGPV) memberi sumbangan berjumlah RM95,180 kepada lima buah sekolah angkatnya
Pengarah Strategi CGPV, Ng Zhu Hann berkata, sumbangan itu merupakan antara pihaknya yang dilaksanakan sejak tahun lalu dalam usaha memperkasakan bidang pendidikan dan kecemerlangan golongan B40 di kawasan berkenaan.
“Masa depan sesebuah negeri dan negara terletak pada bahu generasi mudanya. Justeru, kami di Forest City percaya, sumbangan ini sangat bernilai dalam memastikan kestabilan pendidikan generasi muda ini pada masa depan.
“Oleh itu, kami memilih pembangunan pendidikan dan belia sebagai satu teras aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), selain pembangunan sosial dan kesedaran alam sekitar,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kelas Tambahan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2018 di Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Pendas, Gelang Patah, di sini semalam.
Sumbangan berkenaan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar negeri.
Lima sekolah angkat yang menerima sumbangan tersebut adalah SK Morni Pok, SK Tanjung Adang, SK Ladang Pendas, SK Tanjung Kupang dan SK Tiram Duku.
Zhu Hann berkata, pihaknya sedar terdapat komuniti di kawasan pembangunan Forest City tergolong dalam kategori B40. – UTUSAN ONLINE











