KANGAR – Ibarat sirih pulang ke gagang. Mungkin itu yang boleh digambarkan mengenai Ketua Polis Perlis baharu iaitu Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd.
Beliau berusia 58 tahun itu pernah bertugas sebagai Timbalan Ketua Polis Perlis selama setahun 11 bulan sebelum ditukarkan sebagai Ketua Pusat Pengajian Sains Pengurusan Krisis dan Bencana, Maktab PDRM Kuala Lumpur.
Mengakui terkejut dan teruja kerana dapat kembali ke Perlis, Noor Mushar yang telah berkhidmat selama 37 tahun dalam bidang kepolisan ingin melaksanakan misi untuk menangani masalah keselamatan sempadan selain penyeludupan daun ketum secara komprehensif.
“Buat permulaan, saya akan memberi fokus kepada isu di sempadan negara khususnya kegiatan penyeludupan daun ketum.
“Dalam tempoh terdekat, saya akan berjumpa Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi membincangkan isu ini dengan serius.
“Memang Perlis merupakan negeri kecil namun apabila berdekatan dengan sempadan isu-isu keselamatan sempadan termasuk penyeludupan daun ketum perlu diberikan keutamaan,” katanya kepada pemberita di Mess Pegawai Kanan PDRM di sini hari ini.
Pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Perlis dan Pengerusi Perkep Kontinjen Perlis itu bekas Ketua Polis Perlis, Datuk Azisman Alias akan memulakan tugas sebagai Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman menggantikan Datuk Shahrul Othman Mansor yang ditukarkan ke Bahagian Dasar Sumber Manusia Jabatan Pengurusan Bukit Aman.
Majlis serah tugas itu disaksikan oleh Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Seri Tajudin Md. Isa. – K! ONLINE










