PELAKON Fahrin Ahmad menyifatkan tidak perlu untuk industri mewujudkan tembok stereotaip bagi mana-mana pelakon yang sudah bertukar status seperti berkeluarga dalam soal pemilihan pelakon menerusi sesebuah naskhah.
Hero drama Yes Boss itu membuat perhitungan mudah sebagaimana yang sering berlaku dalam industri kreatif tempatan. Katanya, seseorang pelakon tidak lagi diberi watak utama sekiranya sudah berkahwin.
“Pemikiran kita berbeza dengan dunia hiburan Hollywood. Di sana, pelakon berumur 35 tahun ke atas yang paling laris diangkat sebagai teraju utama.
“Saya harap tiada lagi timbul hal stereotaip kerana peminat sekarang sudah berfikiran terbuka tentang status seseorang pelakon. Sebenarnya status bukan soal besar kerana ia bergantung terhadap kredibiliti pelakon untuk menterjemahkan watak yang diberi,” katanya ketika ditemui pada majlis doa selamat dan akikah putera sulungnya, Khalifa Fahrel baru-baru ini.
Fahrin bagaimanapun tetap menarik nafas lega. Ketika dunia hiburan pernah didominasi barisan pelakon lelaki baharu yang dilabel ‘jambu’ atau berbadan sasa menghiasi kaca televisyen sejak beberapa tahun dahulu, rezekinya tidak terjejas daripada terus dihujani tawaran.
Meskipun kurang popular dalam platform media sosial, namun kelibatnya tetap menghiasi drama di saluran televisyen.
Terbaharu, drama lakonannya berjudul Semerah Cinta Humairah bersama Janna Nick selesai ditayangkan pada bulan Ogos lalu.
Tidak timbul soal cemburu atau tergugat, pelakon yang juga pengacara itu percaya setiap orang mempunyai kelebihan tersendiri untuk ditonjolkan. Baginya, penerimaan dan pengaruh seseorang pelakon adalah bersifat subjektif.
Akui aktor berusia 39 tahun itu, sebagai anak seni yang berada dalam ruang lingkung yang menjadi perhatian khalayak, dia perlu sentiasa menjaga imej dan personalitinya pada mata umum.
Imej
Aktor Puaka Tebing Biru itu juga meletakkan Datuk Rosyam Nor sebagai motivasi dalam soal penjagaan imej demi kekal relevan dalam industri.
“Saya tidak percayakan sebarang pembedahan atau suntikan untuk kekalkan gaya penampilan. Sebagai orang lelaki, biasanya kami akan dikaitkan dengan bentuk fizikal seperti perut buncit dan sebagainya tetapi memandangkan saya memang gemar bersukan, dari situ ia mampu mengekalkan stamina dan bentuk badan saya. Mungkin itu antara faktor yang menyebabkan saya masih boleh membawa watak utama di samping pelakon muda ketika ini,” luahnya sambil melentur tawa.
Tidak menafikan bahawa gandingan bersama pelakon baharu memberikan cabaran tersendiri, namun Fahrin menyifatkan situasi sebegitu dapat diatasi dengan baik sekiranya seseorang pelakon pandai mengikut rentak semasa.
“Kadangkala kalau letakkan hero tua dalam mana-mana naskhah pun tidak mengapa. Tiada masalah tetapi perlu lihat juga faktor lain seperti kesesuaian skrip dan watak dengan keadaan.
“Di situ letaknya peranan penulisan skrip dan watak. Hasil kerja akan nampak canggung kalau lakarannya tidak sesuai dengan penampilan diri seseorang pelakon,” katanya.
Berkongsi sedikit perkembangan terkini, Fahrin bakal menjalani penggambaran sebuah drama bersiri untuk siaran ntv7 bergandingan dengan Amelia Henderson menjelang hujung tahun ini.
Dalam kesibukan berlakon, peranannya selaku pengacara dalam program Wanita Hari Ini (WHI) di TV3 masih tetap berlangsung. Bagi Fahrin, pengacaraan adalah karier jangka masa panjang.
“Sebagai anak seni, saya perlu sedar bahawa industri seperti sebuah kitaran. Ada naik turun. Apa yang boleh dilakukan, sama ada kita mahu bangkit kembali dengan perkara baharu atau hilang perlahan-lahan dari radar industri tanpa berbuat apa-apa.
“Apabila menginjak usia 40-an, saya perlu merancang sesuatu untuk masa hadapan. Sebab itu, saya luaskan cabang kerjaya dengan menyertai bisnes menjual kek. Insya-Allah dalam bulan ini atau bulan depan ia mula beroperasi,” katanya menutup perbualan.











