Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti mengimpikan kehadiran cahaya mata sebagai penyeri hidup. Namun tidak semua pasangan diberikan rezeki tersebut dalam tempoh yang singkat.
Siti Elizad Mohamad Sharifuddin dan suami, Shamsul Baharin Rahman, 46, antara pasangan yang belum diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata meskipun sudah hampir empat tahun mendirikan rumah tangga.
Bagaimanapun, situasi tersebut tidak pernah memberi tekanan yang hebat buat Elizad memandangkan dia seorang wanita yang sentiasa berfikiran positif.
Malangnya, kesabaran dan aura positifnya hilang tatkala diterjah pertanyaan demi pertanyaan daripada orang sekeliling berkenaan rezeki yang satu itu.
Kini, Elizad mengakui tiada lagi dihujani soalan mengenai anak diajukan kepadanya selepas dia berkongsi berita pembedahan membuang ketumbuhan baru-baru ini. Bagi pelakon drama Syurga Yang Kedua ini, perkongsian tersebut dianggap satu hikmah buatnya.
“Ya, memang berita pembedahan itu menghentikan pertanyaan orang mengenai anak. Sejujurnya, saya sangat pantang dengan soalan-soalan yang saya sendiri tiada jawapannya. Soalan yang seolah-olah mempersoal urusan Tuhan.
“Saya jenis wanita yang hidup dalam keadaan positif. Sejak kecil saya diajar dan dilatih oleh ibu bapa agar sentiasa beradab apabila berjumpa dan bercakap dengan orang. Mereka mendidik saya supaya menjaga tatasusila walaupun sebenarnya saya seorang yang agak kasar. Tetapi saya tidak akan tanya soalan yang sensitif kepada seseorang.

“Saya harap masyarakat juga peka tentang sensitiviti orang lain dan hentikan bertanya soalan yang saya sendiri tiada jawapan,” jelasnya.
Bercerita mengenai kesihatan dirinya kini, Elizad mengakui, dia sepatutnya menjalani proses berpantang selama tiga bulan, namun dia bukan seorang yang mampu duduk diam dalam tempoh masa yang lama. Justeru, hampir sebulan selepas pembedahan, Elizad kembali ke set penggambaran.
Jelas Elizad, ramai yang menasihatinya agar memperbanyak rehat terutama dalam proses untuk mendapatkan cahaya mata. Namun Elizad yakin, sekiranya Tuhan mahu berikan rezeki, waktu dia sibuk dengan penggambaran pun perkara itu akan terjadi.
“Doktor menasihati saya agar berehat selama tiga bulan selepas pembedahan. Disebabkan saya tak betah duduk diam, jadi saya ambil keputusan untuk bekerja selepas hampir sebulan berehat.
“Suami saya juga pada awalnya tidak menyokong keputusan saya tetapi disebabkan sikapnya yang tidak suka memaksa, dia memberi keizinan kepada saya keluar bekerja.
“Tetapi dia meletakkan syarat agar saya tidak menerima tawaran yang memerlukan saya melakonkan babak berbahaya seperti jatuh atau tersembam. Dia juga sentiasa memantau keadaan saya di lokasi.
“Bagi saya, soal kerja bukan faktor utama sukar mendapat anak. Semua tahu, orang zaman dahulu lagi kuat bekerja tetapi tetap dikurniakan rezeki melahirkan anak.
“Kalau sudah tertulis rezeki saya, sedang sibuk dengan kerja-kerja lakonan pun, jika Tuhan izinkan, tiada siapa dapat halang saya hamil. Saya sentiasa yakin perkara tersebut.
“Lagi satu, kalau saya tak bekerja dan duduk di rumah sahaja, saya akan lebih tertekan. Daripada saya melayan perasaan yang tidak enak begitu, lebih baik saya menggembirakan diri dengan melakukan kerja-kerja yang saya suka,” ujarnya pada majlis sidang media pengumuman Anugerah Skrin ke-22.
Hargai kerja sendiri
Anugerah Skrin ke-22 tahun ini yang bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 2 November nanti menyaksikan telefilem lakonan Elizad iaitu Tulus Cinta turut tercalon.
Berkongsi tentang telefilem tersebut, Elizad menjelaskan bahawa jalan ceritanya amat dekat dengan dirinya. Mengisahkan tentang kehidupan seorang pesakit kanser menjadi penyebab utama dia menerima tawaran telefilem itu.
“Saya terima tawaran berlakon Tulus Cinta kerana saya mempunyai sejarah keluarga yang turut menghidap penyakit kanser. Tak silap saya, empat orang makcik saya meninggal dunia kerana kanser.

“Cerita itu juga berdasarkan kisah benar. Pesakit kanser itu yang menghantar jalan cerita kepada Elly Suriaty dan dia masih hidup sehingga hari ini,” jelasnya.
Sementara itu, Elizad menyatakan bahawa dia tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk menang. Ini kerana, yang penting bagi dirinya adalah untuk memberikan kualiti terbaik dalam setiap drama lakonannya.
“Saya tahu ada orang memang sasar untuk menang. Tetapi bagi saya, kemenangan bukan segala-galanya. Selagi diperluas pintu rezeki, sudah cukup menggembirakan saya.
“Saya juga tidak memilih drama atau telefilem yang dirasakan boleh menang anugerah. Sebaliknya, saya mahu melakukan yang terbaik untuk setiap tawaran yang diberikan. Apabila skrip pada tangan, saya berusaha untuk mengkaji dan memahaminya.
“Saya lakukan semua ini bukan kerana mengharapkan sebuah trofi tetapi kerana saya amat menghargai kerja saya ini,” akhirinya.









