Ekonomi dunia tidak menentu - Utusan Malaysia

Ekonomi dunia tidak menentu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NUSA DUA, Indonesia – Kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS), kemerosotan mata wang negara-negara membangun dan perang perdagangan AS-China boleh menjerumuskan dunia ke dalam krisis kewangan, namun masih ada masa untuk mengelak bencana tersebut, kata ke­tua-ketua kewangan global.

Ekonomi dunia terus berkembang tetapi berdepan kombinasi ancaman di luar jangkaan, kata Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam amarannya pada sidang tahunan bersama Bank Dunia di Pulau Bali.

Antara ancaman itu termasuk dasar perlindungan yang diperjuangkan oleh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump dan perang perdagangan serta mata wang yang semakin se­ngit antara Washington dan Beijing.

Dalam ucaptama pada sidang di Bali itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo menyamakan perbalahan antara dua ekonomi terbesar dunia itu dengan siri televisyen popular, Game of Thrones.

“Kota hebat, keluarga hebat bertarung antara satu sama lain untuk merampas takhta,” katanya.

Bagaimanapun, konfrontasi dan pertembungan itu mempunyai harga tragis yang bukan hanya menjejaskan pihak yang kalah tetapi pemenangnya juga, tambah Presiden Indonesia itu.

Pandangan beliau turut disokong oleh ketua IMF, Christine Lagarde. Beliau memberi amaran bahawa perdagangan antarabangsa kini dibayangi ketidaktentuan ketara dan belum pernah dilihat sebelum ini.

“Bagaimanapun, malapetaka ekonomi masih boleh dielakkan,” kata pegawai-pegawai pada sidang di Bali itu dengan IMF mengunjurkan pertumbuhan ekonomi berkurangan pada kadar 3.7 peratus untuk tahun ini dan tahun berikutnya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN