JAKARTA 12 Okt. – Penampilan sulung Eddy Bernard dalam Sukan Para Asia pasti akan dikenang sepanjang hayatnya apabila dia berjaya melengkapkan sasaran Malaysia dengan menghadiahkan emas ke-15 di Jakarta, hari ini.
Atlet remaja Sabah berusia 17 tahun itu memenangi pingat emas lompat jauh T44 T62/64 (cacat anggota kaki) lelaki dengan catatan 6.30 meter, sekali gus mengetepikan Maththaka Gamage Nuwan Indika dari Sri Lanka (6.09m) manakala atlet tuan rumah, Rasyidi Rasyidi dengan 6.05m meraih gangsa.
“Saya sangat gembira. Ini penampilan saya dalam Sukan Para Asia dan kemenangan ini untuk negara,” kata Eddy kepada Bernama.
Malaysia sebelum itu meraih emas ke-14 menerusi juara Sukan Paralimpik Rio, Muhammad Ziyad Zolkefli dalam lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) dengan rekod temasya 16.94m.
Malaysia kini sudah meraih 15 emas, 24 perak dan 21 gangsa, sekali gus mencapai sasaran untuk pulang bersama 15 emas. – UTUSAN ONLINE











